RAKYAT Perlis disaran supaya bersama-sama menjayakan kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 dengan memberikan layanan terbaik terhadap pelancong dengan sambutan mesra, dan sentiasa menjaga kebersihan terutamanya kawasan pelancongan, titah Raja Muda, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Baginda bertitah, usaha murni ini perlu diterapkan dan menjadi amalan kerana Perlis kini semakin menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negara.
Demikian titah Raja Muda selepas berkenan berangkat melancarkan Promosi Masakan Perlis di My Kampong Cafe di 77C Street 480, Toul Tompoung, Chamkarmon, Phnom Penh, Kemboja.
Keberangkatan tiba Baginda ke program yang dianjurkan oleh restoran berkenaan dengan kerjasama Kedutaan Besar Malaysia di Phnom Penh, Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis, Yayasan Tuanku Fauziah (YTF), dan Pertubuhan Glokal Ihsan Malaysia itu disambut oleh pengusahanya Muhamad Faizal Ab Rasid.
Hadir sama mengiringi Baginda ialah Duta Besar Malaysia, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim; dan isteri, Datin Masdiana Mohamad serta Atase Pertahanan, Kolonel Nazlee Abd Rahim.
Majlis pengenalan masakan Kurma Perlis di Kemboja pada kali ini dirangka untuk memperkenalkan lagi keunikan masakan negeri Ini yang terletak pada bahagian paling utara Malaysia di dua buah restoran di Phnom Penh iaitu My Kampong Cafe dan Dakshin’s Restaurant.
Para pengunjung ke restoran tersebut selepas ini dialu-alukan untuk melancong ke Perlis bagi memeriahkan lagi kempen Tahun Melawat Perlis 2024-2025 tersebut.
Raja Muda bertitah, antara lokasi-lokasi menarik di Perlis seperti Projek Transformasi DiRaja Kampung Nelayan Warna-Warni Seberang Ramai Kuala Perlis, Tasik Timah Tasoh, Gua Kelam, Wang Kelian View Point, Taman Tasik Melati dan Padang Besar dijangka akan menjadi tumpuan utama para pelancong.
Baginda berharap agar melalui diplomasi gastronomi ini, hubungan dua hala antara Kemboja dan Malaysia khususnya di Perlis akan menjadi lebih akrab dan saling menyantuni antara satu sama lain. – SM