Politik

Rakyat di Nenggiri tolak pakatan UMNO-DAP

PENGIUNDI di Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri akan menolak calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya kecil (PRK) 17 Ogos ini kerana mereka menolak UMNO-DAP bersekongkol

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata,  pengundi perlu menolak BN sebagai tanda mereka tidak mahu bersekongkol dengan bekas ADUN Nenggiri, Mohd Azizi Abu Naim yang dianggap mahu menyerah kerusi tersebut kepada UMNO-DAP.

“Rakyat hendaklah memastikan DUN Nenggiri dan parlimen Gua Musang tidak diberi secara mudah kepada Pakatan Harapan dan UMNO.

“Sebelum ini Perikatan Nasional ada 74 kerusi parlimen, namun sekarang tinggal 68 selepas ada ahli parlimen PN daripada Bersatu yang menyokong kerajaan Madani,” katanya pada ceramah Gelombang Selamatkan Malaysia Pertahan Nenggiri di Limau Kasturi, malam tadi.

Bagaimanapun, beliau membayangkan jumlah kerusi parlimen BN akan berkurang kerana terdapat ura-ura MCA dan MIC akan keluar daripada gabungan BN.

Menurutnya, MCA mempunyai dua kerusi parlimen dan MIC satu kerusi bagi menyumbang jumlah kerusi BN kepada 30 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Ini kerana, kata beliau pemimpin MCA dan MIC tidak senang kerana Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pernah menyatakan kedua-dua parti terbabit turut menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 sedangkan ia tidak begitu.

Oleh itu, beliau mahu rakyat di DUN Nenggiri pertahankan kerusi tersebut tanpa mengira siapa calon yang akan mewakili PN pada PRK 17 Ogos ini.

Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Mohd Radzi Jidin pula berkata, hanya melalui PRK sahaja mampu memberi kesedaran terhadap kerajaan Madani mengenai peningkatan kenaikan kos sara hidup sekarang.

“Kami sebagai ahli parlimen sudah berkali kali membangkit isu peningkatan ketara kos sara hidup kesan kenaikan harga diesel dan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di Dewan Rakyat namun menteri buat seperti lembu kenyang.

“Jadi hanya melalui pilihan raya sahaja yang mampu beri kesedaran kepada kerajaan terhadap bebanan yang dihadapi rakyat sekarang,” katanya.

Rakyat di DUN Nenggiri diajak menolak usaha untuk menyerahkan kerusi DUN terbabit kepada Umno-DAP dengan menolak calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK), 17 Ogos ini. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button