Rakaman itu memang suara saya, bukan perkara salah pun – Hamzah Zainuddin
MENTERI Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin mengakui yang rakaman suara berkenaan pemilihan Ketua Polis Negara yang tersebar sebelum ini adalah suaranya.
Menurutnya, dalam rakaman tersebut dia tidak melakukan sebarang kesalahan dan sebaliknya orang yang bersalah ialah individu yang merakam perbualan tersebut.
“Kalau dengar pun dalam rakaman audio itu, saya hanya minta Ketua Polis Negara untuk berikan beberapa nama kepada Yang di-Pertuan Agong. Bukan salah pun.
“Cuma yang saya hairan itu bila orang yang dirakam bercakap satu sama lain itu tak mengaku. Macam saya, saya mengaku. Yang salah itu ialah orang yang merakam tu.
“Tak salah pun kalau mengaku. Dia cikgu saya. Haa, ok jalan,” katanya dalam sidang akhbar penyerahan Surat Ketua Polis Negara ke-13 di Kementerian Dalam Negeri hari ini.
Dalam pada itu, Hamzah memberitahu yang dia tidak akan membuat laporan polis berkenaan penyebaran rakaman audio itu kerana menganggap perbuatannya itu tidak menyalahi undang-undang.
Menurutnya, apa yang dilakukan itu adalah perkara biasa yang ditanyakan oleh pihak Istana Negara dan bukan sesuatu perkara yang baru.
“Untuk memilih Ketua Polis Negara adalah diputuskan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Polis (SPP) yang dipengerusikan saya.
“Malah, kita juga telah melakukan mesyuarat berkenaan pemilihan KPN yang seterusnya sehinggalah dipersetujui semua orang termasuk KPN yang sekarang.
“Selepas itu barulah dihantar ke Perdana Menteri dan seterusnya ke YDPA. Ini adalah perkara biasa yang dah lama dilakukan sebelum ini,” katanya.
Baru-baru ini tular satu rakaman audio yang disunting bersama video berdurasi 1 minit 22 saat itu tular sejak malam tadi dan dikatakan suara dalam rakaman berkenaan mirip Hamzah.
Antara yang dibualkan dalam rakaman itu mengenai kenaikan pangkat dan pertukaran jawatan dalam polis selain ada menyebut mengenai lantikan seseorang yang berasal dari Ipoh, Perak. -SM