RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan menerima sembah mengadap Asisten Panglima Pasukan Simpanan Tentera Darat Malaysia (TDM), Mejar JeneralDatuk Abdul Rahman A Wahab di Kangar.
Pelantikan Abdul Rahman yang berasal dari Kangar, Perlis telah berkuatkuasa pada 13 September lalu.
Berangkat sama Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang diiringi anakanda-anakanda, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Hadir sama isteri Abdul Rahman, Pengerusi Rejimen Renjer DiRaja pada masa ini, Datin Zarina Alif; Panglima Briged Ke-30 Infantri Malaysia, Brigadier Jeneral Yazid Yusuf; dan Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah; Leftenan Kolonel Lasahi Laiji.
Para pegawai dan anggota Askar Wataniah diharap agar membanting tulang untuk sentiasa bersedia menghadapi sebarang rintangan dan berusaha mencapai segala misi yang diamanahkan.
Pada masa yang sama, marilah kita bersama-sama mengekalkan reputasi Askar Wataniah dan terus meningkatkan usaha dalam menggandakan pendaftaran dalam pasukan sukarela Rejimen 504 Askar Wataniah yang berpangkalan di Kem Bukit Keteri, Perlis.
Untuk rekod, Tuanku Syed Sirajuddin merupakan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah yang pertama sebelum Tuanku Syed Faizuddin Putra dilantik menggantikan Baginda pada 1 April 2002. – SM