Raja Puan Muda berkenan terima kunjungan delegasi APIUM
RAJA Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berkenan menerima kunjungan sembah mengadap delegasi dari Jabatan Syariah dan Undang-Undang, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (APIUM) di Istana Arau.
Delegasi terdiri daripada sembilan pensyarah kanan jabatan tersebut yang diketuai oleh Dr. Mohd Zaidi Daud selaku Ketua Jabatan, Prof. Datuk Dr. Ahmad Hidayat Buang serta Prof. Datin Dr. Raihanah Abdullah.
Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah merupakan alumni UM dan telah lulus bergraduasi sebagai Doktor Falsafah (PhD) daripada APIUM baru-baru ini.
Selepas majlis tersebut Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah bertitah, soal tanggungjawab sosial dalam pembangunan negara ini harus sentiasa dipadankan dan diukur dari segi tahap kemampuan setiap golongan masyarakat, apatah lagi khusus kepada kaum wanita dalam semua peringkat umur.
Dalam era kini, titab Baginda, wanita bukan sekadar sebagai pendukung, pengikut, dan penyokong kepada setiap keputusan yang ditetapkan, namun wanita perlu juga terus diberi tempat dan peluang yang lebih utama dalam membuat sesuatu keputusan dasar terutamanya dalam bidang sosial.
Raja Puan Muda turut berharap agar golongan wanita pelbagai peringkat masyarakat, kaum dan peringkat umur akan kekal bersama-sama membangunkan negeri dan negara walau dalam apapun cabaran yang dihadapi kini khususnya cabaran semasa ekonomi dan sosial.
“Bersama-samalah dalam menyumbangkan peranan dan tenaga demi pembangunan keluarga, masyarakat, negeri dan juga negara. Insya-Allah,” titah Baginda.
Berangkat sama Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Ketika di Perlis, delegasi APIUM tersebut turut mengadakan pertemuan dengan kepimpinan tertinggi daripada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) serta Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) bagi meneroka potensi kolaborasi baru antara kedua-dua belah pihak. – SM