Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail menzahirkan kesyukuran di atas berkat doa semua, kesihatan Baginda semakin pulih.
Demikian titah Baginda ketika berkenan berangkat bersama-sama Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid ke Majlis Santapan Teh anjuran Kerajaan Negeri bagi mengalu-alukan keberangkatan pulang Baginda berdua ke Negeri Perlis.
Majlis diadakan di Mess Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar, petang semalam.
Keberangkatan Baginda berdua disambut oleh Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli, Speaker Dewan Undangan Negeri, Rus’sele Eizan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Yusran Shah Mohd Yusof serta para pembesar negeri.
Berkenan berangkat, Raja Muda Perlis,Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tuanku Syed Sirajuddin jiga menzahirkan rasa bersyukur kerana dapat kembali ke negeri Perlis semula setelah 5 bulan Baginda menjalani proses pembedahan dan seterusnya pemulihan serta pemeriksaan susulan di Istana Perlis Kuala Lumpur.
Tuanku Raja bertitah, ucapan terima kasih juga kepada Kerajaan Negeri Perlis yang telah berjaya mentadbir negeri ini di bawah naungan dan bimbingan Pemangku Raja Perlis semasa Baginda bsrsemayam di ibu negara.
Di akhir majlis, Raja Perempuan berkenan menyempurnakan pengurniaan cenderakurnia peribadi kepada sebilangan para pegawai serta petugas dari Perlis yang telah terlibat menaburkan bakti sepanjang tempoh rawatan Raja Perlis di Kuala Lumpur. – SM