Raja Perlis titah warga USM capai kejayaan peringkat global
19 November 2024.
Pulau Pinang.
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail bertitah warga Universiti Sains Malaysia (USM) perlu menterjemahkan peranan dan sumbangan masing-masing dalam meneruskan kecemerlangan universiti khususnya dalam bidang penyelidikan, pengajaran, penerbitan pengurusan, dan Kelestarian serta pembangunan ilmu yang bersifat global dengan keperluan semasa dunia kini.
Baginda bertitah, selaras dengan nilai-nilai USM, “accessibility”, “affordability”, dan “appropriateness”, khazanah ilmu yang ada di dalam USM hendaklah dibuka seluas-luasnya kepada masyarakat untuk dimanfaatkan. Di samping itu, para pensyarah dan pentadbir USM juga mesti menunjukkan kebolehan untuk memimpin serta mempunyai integriti dan keperibadian yang tinggi serta tatakelola yang gemilang dari semua sudut.
“Aspirasi ‘Kami Memimpin’ Menjadi Wadah Dan Teras Warga USM” bukan sahaja perlu bijak dalam membuat kritikan, tetapi juga perlu bijaksana dalam memberikan ‘solusi’ atau jalan keluar yang realistik serta sentiasa relevan bagi setiap isu yang dihadapi secara bersama”, titah Baginda lagi.
Demikian titah Tuanku Syed Sirajuddin merangkap Tuanku Canselor USM ketika berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Anugerah Sanggar Sanjung Universiti Sains Malaysia (USM) 2023 di Ballroom 3 dan 4, Setia Spice Convention Centre, Pulau Pinang.
Keberangkatan tiba Baginda ke majlis tahunan yang bertemakan ‘USM Memacu dan Memimpin Transformasi Kelestarian ke arah Masa Depan yang Mampan’ pada kali ini itu diiringi oleh Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid dan disambut oleh Naib Canselor, Prof. Datuk Seri Ir. Dr. Abdul Rahman Mohamed dan Pengurusan Tertinggi USM.
Turut berangkat sama adalah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda kedua Baginda berdua, Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.
Majlis Anugerah Sanggar Sanjung pada tahun ini dianjurkan bagi meraikan pelbagai kejayaan yang dicapai oleh USM sepanjang tahun 2023 atas kesungguhan dan usaha jitu Ahli Akademik serta Pentadbir USM yang telah menunjukkan kecemerlangan sehingga menempa pelbagai kejayaan di peringkat negara dan antarabangsa.
Antara penyampaian anugerah-anugerah termasuklah Anugerah Pendidik Sanjungan, Anugerah Kualiti, Anugerah Sanjungan Industri,Anugerah Kepimpinan Masyarakat, Anugerah Sanggar Sanjung (Kebangsaan) bagi kategori Penerbitan Buku, Paten dan Ketokohan, serta Anugerah Sanggar Sanjung (Antarabangsa) bagi kategori Ketokohan, Geran Penyelidikan Industri dan Geran Penyelidikan Antarabangsa.
Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan untuk menyempurnakan pelancaran buku bertajuk ‘Developments of the Malaysian Capital Market 2022-2024 Collection of Selected Speeches’.