BeritaPendidikan

Raja Perlis titah warga IPT supaya merancang jadual di bulan Ramadan

Semua warga IPT harus merancang jadual kerja masing-masing dengan sebaik mungkin agar segala amalan yang dilaksanakan dalam bulan puasa ini mempunyai keberkatannya yang tersendiri.

Kepada warga kerja, selain melaksanakan amalan kebaikan, perkara lain yang tidak kurang pentingnya adalah menjadi pekerja yang baik dan berdedikasi. Uruslah waktu bekerja dengan sebaiknya. Manfaatkan waktu rehat tengah hari untuk melaksanakan lebih banyak tugasan agar dapat mempersiapkan kerja dengan lebih cepat. Tingkatkan semangat dalam bekerja sebagaimana bersemangat untuk bersedekah dan beramal bagi mencari keberkatan dalam rezeki yang diperolehi.

Demikian titah Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Iftar Perdana IPT Perlis 2022’ yang diadakan di Dewan Ilmu Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Pauh Putra pada petang semalam.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syef FaIzuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap
Tuanku Canselor UniMAP dan KUIPs.

Keberangkatan tiba baginda berdua ke majlis gabungan IPT di Perlis iaitu UiTM Cawangan Arau, Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan UniMAP selaku tuanrumah mengikut gilirannya pada kali ini disambut oleh Naib Canselor UniMAP, Lt Kol Prof Dr Ts Zaliman Sauli.l serta kepimpinan tertinggi IPT-IPT berkenaan.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menyarankan golongan pelajar supaya mengurus jadual belajar masing-masing dengan sebaiknya. Peruntukkan masa untuk belajar bersungguh-sungguh walaupun dalam kesibukan mengerjakan amalan sunat Ramadan. Jangan jadikan berpuasa alasan untuk bersenang-senang dan bermalasan sehingga memberi kesan kepada pengajian.

Siapkan semua tugasan yang diberikan oleh pensyarah dalam waktu yang ditetapkan dan yang paling penting, tingkatkan fokus dan dalami ilmu pengajian dengan sebaiknya.

Dimajlis tersebut selain solat maghrib, isyak dan tarawih secara berjsmaah, turut diadakan ialah simbolik penyerahan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berupa Sumbangan Ihyak Ramadan untuk keempat-empat IPT yang terlibat selain turut dipersembahkan sumbangan zakat warga IPT melalui potongan gaji melalui MAIPs.

Untuk rekod sepanjang tahun 2021, sebanyak RM1,244,356.40 telah disumbangkan oleh warga UniMAP, RM 642,264.00 oleh warga UiTM Cawangan Perlis, RM 146,848.80 oleh warga Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin dan RM 58,248.50 dari warga KUIPs.

Bagi tujuan untuk membantu warga IPT yang berkeperluan, MAIPs turut melaksanakan inisiatif mewujudkan Tabung Pengurusan Zakat IPT yang dapat dimanfaatkan oleh warga IPT khususnya dalam membantu pelajar dari kalangan asnaf.

Terdahulu daripada itu, dalam ucapan alu-aluan beliau, Zaliman mempersembahkan ucapan merafak sembah tahniah atas 22 tahun pemasyhuran DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail sebagai Raja Perlis yakni sejak 17 April 2000 dan mendoakan
semoga baginda dan DYMM Tuanku Raja Perempuan Perlis serta seluruh usrah kerabat Diraja dilimpahkan panjang umur, sihat dan sentiasa berada dalam lindungan Allah swt.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button