Ekonomi

Allo Technology rangkul Anugerah Telekom Asia 2022

ALLO Technology Sdn Bhd (Allo), merupakan sebuah anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), dinobatkan sebagai Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik Malaysia pada Anugerah Telekom Asia 2022 yang diadakan secara maya pada Mac lalu.

Syarikat itu berkata, anugerah tersebut merupakan pengiktirafan kepada usaha responsifnya dalam merapatkan jurang digital di negara ini.

Allo menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang menyokong inisiatif Jalinan Digital Nasional (Jendela) dengan merapatkan jurang digital dan menyasar untuk mempunyai 7.5 juta pas premis optik gentian menjelang hujung tahun ini.

Ia juga menyediakan kesalinghubungan jalur lebar pada kadar berpatutan, sekali gus membuka peluang kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dalam komuniti di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.

Rodzi Ahmad mewakili Allo Technology menerima Anugerah Telekom Asia 2022 yang diadakan secara maya pada Mac lalu.

“Dengan memanfaatkan rangkaian optik gentian TNB di Semenanjung Malaysia, Allo juga bekerjasama rapat dengan pelbagai Penyedia Perkhidmatan Runcit (RSP) untuk menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) pada kadar yang lebih pantas dan harga berpatutan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Rodzi Ahmad dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, usaha itu akan merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan menerusi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti.

Menerusi kerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan runcit, Allo akan mengisi kekosongan dengan menyediakan akses optik gentian ke seberapa banyak tempat yang mungkin, katanya.

Pada masa ini, Allo telah menyelesaikan lebih 180,000 ‘home passes’ di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dan menyasar mencapai 300,000 ‘home passes’ pada akhir tahun ini.

Allo juga menjalin kerjasama strategik dengan tujuh penyedia perkhidmatan runcit iaitu Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone dan berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak penyedia lain bagi memudahkan kesalinghubungan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.

Program Anugerah Telekom Asia itu yang dianjurkan oleh Asian Business Review memberi penghargaan kepada syarikat telekomunikasi utama yang mempelopori produk dan penyelesaian inovatif yang menonjol dan mempamerkan daya tahan meskipun pelbagai cabaran pasaran pada tahun lalu. – SM

(Visited 450 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button