Nasional

Raja Perlis titah segala aset wakaf didaftarkan atas nama MAIPs

KUALA LUMPUR, 14 Feb — Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini menitahkan agar segala aset wakaf di Perlis didaftarkan atas nama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Baginda bertitah langkah itu bertujuan memastikan niat asal dan hasrat pewakaf terpelihara serta harta wakaf ditadbir berpandukan hukum syara’ serta ketetapan ulil amri.

“Sebagai Pemegang Amanah Tunggal harta wakaf negeri Perlis berdasarkan Seksyen 89 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis, MAIPs dilihat berpotensi memainkan peranan signifikan menyemai semangat berwakaf dalam kalangan masyarakat.

“Selari dengan peruntukan enakmen itu, semua pihak harus menghormati peranan dan tanggungjawab  besar yang perlu dimainkan MAIPs,” titah baginda pada Majlis Amal Dana Wakaf MAIPS-Perkhidmatan Dialisis Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, Perlis di sini.

Turut berangkat Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil. Turut hadir Menteri Besar Datuk Seri Azlan Man.

Tuanku Syed Sirajuddin turut menzahirkan ucapan tahniah kepada MAIPs yang diterajui anakanda baginda, Tuanku Syed Faizuddin selaku Yang Dipertua MAIPs serta kakitangannya atas kejayaan melaksanakan penyerahan siap bangunan pusat dialisis kepada Kementerian Kesihatan (KKM) pada 3 Feb lepas untuk dioperasikan pihak HTF.

“Pusat rawatan dialisis serba lengkap berkenaan dapat merealisasikan hasrat murni MAIPs dan pihak hospital khususnya seluruh pewakaf demi meringankan beban penderitaan pesakit buah pinggang kronik tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang,” titah baginda.

Baginda turut merakamkan penghargaan kepada semua penyumbang yang menjayakan pembinaan pusat rawatan dialisis bernilai RM6 juta itu dan mengalu-alukan penyertaan pelbagai pihak untuk terus memberi sumbangan memandangkan pusat itu masih memerlukan RM3 juta.

Mengenai majlis yang berjaya mengutip sumbangan sebanyak RM920,000 daripada 52 penyumbang, baginda bertitah bahawa ia merupakan manifestasi aspresiasi MAIPs kepada syarikat, badan korporat dan orang persendirian yang menghulurkan sumbangan dalam bentuk wakaf tunai bagi merealisasikan pembinaan Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis HTF.

“Penghargaan ini amat bermakna kepada penyumbang yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan terhadap kejayaan projek ini. Ia adalah terjemahan kepada nilai budi pekerti mulia dan keikhlasan sebagai insan membantu meringankan beban mereka yang memerlukan,” titah baginda.

Tuanku Syed Sirajuddin turut memuji inisiatif pusat wakaf dialisis itu dan mahu ia dijadikan contoh bagaimana pihak bukan kerajaan dapat menjadi pelengkap kepada inisiatif dan usaha pihak kerajaan menyediakan kemudahan untuk keselesaan rakyat.

“Dengan pelaksanaan Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis HTF ini, MAIPs berjaya melengkapkan keperluan masyarakat dalam segmen kesihatan berskala besar,” titah baginda.

MAIPs mewujudkan inisiatif Bangunan Wakaf MAIPs-Perkhidmatan Dialisis HTF sejak 2014 sebagai satu kaedah menyalurkan bantuan kepada penerima rawatan dialisis khususnya golongan asnaf.

Pusat yang memulakan pembinaan pada 3 Apr 2018 itu melibatkan kos RM6 juta, bakal membantu HTF meningkatkan kualiti perkhidmatan dengan menyediakan perkhidmatan rawatan dialisis kondusif, efisien serta mengurangkan giliran menunggu yang panjang.

Pusat yang bakal menjadi pusat rawatan dialisis terbesar seliaan KKM itu berkeluasan 1,822 meter persegi dengan kapasiti 66 katil.

— BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button