fbpx
Luar Negara

Dahulu haram, kini Hari Valentine halal di Arab Saudi

Hari Valentine atau seringkali dikaitkan sebagai ‘hari kekasih’ dahulunya asing dan haram disambut di Arab Saudi.  Namun kini hari kekasih yang diraikan setiap 14 Februari itu menjadi trend di Arab Saudi.

Rakyat di negara di mana terletaknya Kaabah iaitu kiblat umat Islam dan terletaknya masjid paling suci bagi umat Islam iaitu Masjidil Haram kini secara terbuka meraikan Hari Valentine bersama-sama orang tersayang.

Menurut portal berita Arab News, dahulu peniaga bunga segar dan pengeluar coklat secara sembunyi-sembunyi menjual produk bertemakan Hari Valentine kepada pasangan yang bercinta pada 14 Februari.

Ini kerana mereka takut dengan tindakan yang akan diambil oleh Suruhanjaya Promosi Kebajikan dan Pencegahan Maksiat (CPVPV) yang juga dikenali sebagai ‘polis agama’ di Arab Saudi. Mereka boleh ditahan dan kedai mereka ditutup selama-lamanya.

Malah pemilik restoran juga mengambil langkah tidak membenarkan sebarang sambutan termasuk majlis hari jadi di premis mereka pada 14 Februari. Peniaga begitu khuatir akan hukuman yang dikenakan terhadap mereka.


Portal Al-Arabia turut melaporkan meraikan Hari Valentine kini disambut secara terbuka di Arab Saudi. Dahulu kedai-kedai diharamkan menjual bunga ros dan patung beruang pada 14 Februari. Ini kerana Hari Valentine dianggap tidak Islamik dan merupakan perayaan penganut agama Kristian.

Namun sepanjang minggu ini akhbar-akhbar di Arab Saudi mempromosi  tempat-tempat makan malam untuk pasangan kekasih. Kedai-kedai menjual bunga juga begitu sibuk dengan tempahan jambangan bunga daripada pasangan kekasih.

“Anda tidak pernah melihat orang memakai apa-apa berwarna merah pada 14 Februari,” kata Rania Hasan yang tinggal di ibu negara Arab Saudi, Riyadh.”Walaupun secara tidak sengaja memakai pakaian berwarna merah ‘polis agama’ akan menghentikannya.”

Segalanya berubah apabila Presiden CPVPV Sheikh Ahmed Qasim Al-Ghamdi mengisytiharkan Hari Valentine tidak bertentangan dengan ajaran Islam pada 2018.

Menurut Sheikh Ahmed Qasim meraikan kasih sayang bersifat universal dan tidak terhad kepada bukan Islam sahaja.

Pada 14 Februari iaitu hari ini,rakyat Arab Saudi tidak lagi takut-takut untuk membeli hadiah yang mahal seperti bunga, belon berbentuk hati malah patung beruang untuk diberi kepada orang yang mereka sayangi.

Di Malaysia sambutan Hari Valentine masih dianggap bertentangan dengan syarak. Menurut Panel Kajian Aqidah (PKA) dan Panel Kajian Syariah (PKS) Jabatan Kemajuan Islam Malaysia amalan ini adalah haram dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan bahawa amalan merayakan Hari Valentine tidak pernah dianjurkan oleh Islam.

Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur agama lain dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam. Oleh itu amalan meraikan Hari Valentine tidak digalakkan oleh agama Islam. -SM

(Visited 1 times, 1 visits today)

Show More

KHAIRULANUAR YAHAYA

Khairulanuar mempunyai pengalaman sebagai wartawan di Karangkraf, Bernama TV dan terakhir di Utusan Malaysia. Pernah membuat liputan kemanusiaan di Gaza, Pakistan, Jepun, Somalia, Lubnan dan Syria. 'Kehilangan' jurukamera, Noramfaizul ketika sama-sama bertugas di Somalia sesuatu yang tidak pernah beliau lupakan.

Related Articles

Back to top button