
Raja Perlis solat Aidilfitri di Dataran Istiadat Istana Arau bersama 2,000 jemaah
ARAU – Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan berangkat menunaikan Solat Sunat Aidilfitri bersama lebih 2,000 jemaah di Dataran Istiadat, Istana Arau, dalam suasana penuh keberkatan dan kemeriahan Syawal.
Turut berangkat, Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil beserta anakanda-anakanda Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.
Tuanku Syed Faizuddin Putra berangkat tiba di perkarangan Dataran Istiadat kira-kira pukul 7.40 pagi disusuli Tuanku Syed Sirajuddin pada 7.45 pagi.
Solat sunat Aidilfitri di seluruh negeri Perlis dilaksanakan di tanah lapang yang diselaraskan bermula 7.45 pagi hingga 8.15 pagi, bergantung kepada keputusan Jawatankuasa Kariah masing-masing.
Masyarakat Kariah Kota Raja Arau bersama-sama jemaah lain turut menunaikan solat bermula 8.00 pagi yang diimamkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Hj Mohd Nazim Mohd Noor, manakala khutbah Aidilfitri khas bertajuk “Aidilfitri: Fitrah Dalam Kehidupan” disampaikan oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Datuk Arif Perkasa Profesor Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.
Duli-Duli Tuanku turut berkenan beramah mesra serta menyantuni rakyat jelata, menzahirkan kasih dan kemesraan serta bergambar kenangan bersama mereka dalam kemuliaan Syawal.
Tuanku Raja Perlis dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri 1446H’ dan “Taqabbalallahu minna wa minkum”.
FOTO