Nasional

Raja Perlis selamat jalani pembedahan kaki

Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail telah selamat menjalani pembedahan kaki di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), Kangar pada semalam, Isnin 27 Mei 2024.

Demikian menurut kenyataan Istana Arau hari ini memaklumkan Tuanku Syed Sirajuddin berada dalam keadaan stabil sepanjang tempoh pembedahan, dan syukur Alhamdulillah pembedahan selesai dengan jayanya tanpa sebarang masalah.

Tuanku Raja dan Raja Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Binti Almarhum Tengku Abdul Rashid menzahirkan ucapan berbanyak terima kasih kepada seluruh rakyat jelata dan semua kaum kerabat serta sahabat handai yang tidak putus-putus mendoakan kehadrat Allah SWT agar dikurniakan keselamatan, kesejahteraan dan kesembuhan segera buat Tuanku Syed Sirajuddin.

Baginda Raja Perlis dan Baginda Raja Perempuan Perlis juga turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan kepada barisan pakar khususnya Datuk Dr Fadzir Mohamad (Hospital Kuala Lumpur), Dr Jasmeet Singh Saren a/l Manjit Singh (KMI Taman Desa Medical Centre), Dr Aminuddin Mohamad (Hospital Putrajaya), Dr Syed Addi Usmi Syed Othman (HTF) serta seluruh warga kerja Jabatan Kesihatan Negeri Perlis dan HTF. Juga kepada semua pihak yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam memastikan urusan pembedahan dan rawatan Tuanku Raja Perlis dijalankan dengan sempurna.

Raja Perempuan Perlis, Pemangku Raja Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan Tengku Puteri Mahkota Perlis Datuk Seri Sharifah Fazira Jamalullail turut berangkat ke HTF ketika pembedahan itu dilaksanakan. Turut sama adalah
cucunda-cucunda Baginda Tuanku Raja dan Baginda Tuanku Raja Perempuan Perlis iaitu Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail, Sharifah Farah Adriana Jamalullail dan Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail

Kenyataan Istana Arau juga memaklumkan bahawa Tuanku Raja Perlis terus bersemayam di Wad Diraja HTF sejurus selesai pembedahan bagi menjalani proses rawatan pemulihan sepenuhnya dan juga untuk berehat.

Di kesempatan ini, Tuanku Pemangku Raja Perlis turut menzahirkan seruan kepada seluruh rakyat jelata agar tidak putus tidak henti berdoa untuk kesejahteraan serta kesembuhan buat Baginda Tuanku Raja Perlis.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button