Raja Perlis: Menteri Besar, barisan Exco perlu sedia berkhidmat 24 jam
RAJA Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail dalam titah menasihatkan Menteri Besar dan barisan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco)nya tidak menjadikan waktu bertugas bagai menekan “on” atau “off” pada “switch”.
Sebaliknya, titah Baginda mereka sebenarnya perlu bersedia untuk berkhidmat 24 jam tanpa mengira waktu atau masa.
“Rakyat pula sentiasa memerhati maka harus menunjukkan teladan yang baik dan tidak melakukan perkara dikeji supaya sentiasa dihormati,” titah Baginda ketika berkenan menyempurnakan Istiadat Pelantikan dan Angkat Sumpah Exco baharu di Istana Arau, semalam.
Berkenan berangkat, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.
Hadir sama Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli.
Pada majlis berkenaan, enam Exco mengangkat sumpah di hadapan Tuanku Syed Sirajuddin.
Pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) baru-baru ini, Perikatan Nasional (PN) menang besar di Perlis apabila menyapu bersih tiga Parlimen dan 14 dari 15 Dewan Undangan Negeri (DUN).
Dalam titah, Baginda juga menasihatkan barisan Exco yang baharu ini membaca dan memahami dengan lebih jelas berhubung isi kandungan perlembagaan.
Baginda bertitah, ini kerana banyak yang masih tidak faham dengan jelas mengenai perlembagaan.
“Beta amat menitikberatkan pentingnya pemahaman terhadap perlembagaan khususnya kepada yang terlibat dengan kerajaan,” titah Baginda.
Baginda juga bertitah supaya barisan Exco ini merujuk kepada pihak yang arif mengenai perlembagaan ini termasuk Setiausaha Kerajaan Negeri. – SM