
Raja Perlis berkenan terima mengadap Ketua Polis Negara
Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan Raja Perempuan Perlis Tuanku Tengku Fauziah bt Almarhum Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menerima kunjungan sembah mengadap oleh Ketua Polis Negara Tan Sri Datuk Seri Panglima Abdul Hamid Bador di Mes Pegawai Kanan Polis DiRaja Malaysia, Jalan Raja Muda, Kangar pada malam semalam.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama-sama anakanda-anakanda, Sharifah Farah Adriana dan Syed Sirajuddin Areeb Putra.
Abdul Hamid yang diiringi Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad mempersembah maklumkan kepada baginda perkembangan terkini pasukan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dalam menangani jenayah dan keselamatan awam khususnya yang melibatkan negeri Perlis.
Terdahulu daripada itu pada sebelah tengaharinya Tuanku Raja dan Tuanku Raja Perempuan Perlis turut berkenan meraikan Ketua Polis Negara jamuan makan di Istana Fauzana, Kangar.