NasionalNegeriPendidikan

Raja Perempuan Perlis berkenan rasmi Istiadat Konvokesyen PTSS Ke-15

RAJA Perempuan Perlis, Tuanku Tengku Fauziah Tengku Abdul Rashid berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS) di Pauh Putra, Arau hari ini.

Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK), Dr. Mohd Zahari Ismail dan Pengarah PTSS, Abdul Malek Hassan.

Tuanku Tengku Faizuddin Putra berkenan membaca teks titah Raja Perlis pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 PTSS di Pauh Putra, Arau.

Berangkat sama, Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Dalam teks ucapan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang dibacakan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra, Baginda bertitah, PTSS antara institusi yang menawarkan Pendidikan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) yang memberi tumpuan kepada perkembangan kemahiran teknikal dan profesional, yang merupakan landasan bagi kecemerlangan ekonomi negara.

Pendidikan TVET tidak hanya melibatkan pembelajaran teori, tetapi juga amalan praktikal. Selain dari aspek teknikal, pendidikan TVET juga mengajar nilai-nilai etika dan profesionalisme.

Baginda bertitah, PTSS juga memainkan peranan sebagai salah satu institusi pendidikan di Perlis yang membekalkan graduan dengan kemahiran teknikal dan profesional yang diperlukan untuk memenuhi keperluan pasaran kerja.

“Dengan pengetahuan dan kemahiran, saudara saudari harus menjadi penggerak utama dalam industri tempatan dan antarabangsa.

Tanamkan cita-cita untuk mencipta peluang pekerjaan, memacu pertumbuhan ekonomi, dan membantu negara mencapai matlamat pembangunan berteraskan kepada ilmu pengetahuan dan teknologi,” titah Baginda lagi.

Tuanku Tengku Fauziah, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen berkenan bergambar pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 PTSS di Pauh Putra, Arau.

Terdahulu daripada itu Abdul Malek dalam ucapan alu-aluan memaklumkan bahawa bagi memastikan pendidikan berkualiti, PTSS sentiasa berusaha memantau dan mengekalkan kecemerlangan para pelajarnya dalam pelbagai lapangan terutamanya dalam bidang akademik dan terbukti dengan keputusan peratusan kelulusan pelajar melebihi 99 peratus.

“Aspirasi JPPKK dan PTSS untuk melahirkan graduan yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga di dalam bidang lain seperti kepimpinan, sukan dan jati diri yang mampu membentuk sahsiah diri graduan,” ujar beliau lagi.

Di majlis tersebut Tuanku Tengku Fauziah berkenan menyempurnakan Pengurniaan Anugerah Kecemerlangan Akademik dan Kokurikulum Jabatan, Anugerah Pengarah, Anugerah Khas Ketua Pengarah dan Anugerah DiRaja kepada 25 graduan yang diraikan.

Cucunda Baginda, Puteri Nurlin Syazwani Datuk Paduka Mohammad Yaacob adalah penerima Anugerah Khas Ketua Pengarah.

Tuanku Tengku Fauziah berkenan menerima sembah mengadap hadirin ketika berkenan berangkat masuk pada Istiadat Konvokesyen Kali Ke-15 PTSS di Pauh Putra, Arau.

Raja Muda juga turut menyampaikan Anugerah Diploma dan Sijil kepada 127 graduan dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Jabatan Perdagangan, Jabatan Reka Bentuk Dan Komunikasi Visual, Jabatan Teknologi Maklumat Dan Komunikasi, Jabatan Pelancongan Dan Hospitaliti dan akhir sekali, Sijil serta Kemahiran Khas Jabatan Pelancongan Dan Hospitaliti. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button