Sukan

Raja Muda titah pengurusan kemudahan sukan di Perlis perlu pastikan fasiliti sentiasa dalam keadaan baik

BERLIN 2 Okt. – Raja Muda Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berharap agar semua pihak yang bertanggungjawab dalam mentadbir serta menguruskan fasiliti-fasiliti sukan khususnya milik awam di negeri Perlis sentiasa berusaha untuk menaik taraf dan memastikannya berada pada tahap yang selamat, memuaskan dan boleh digunapakai pada sebilang masa.

 

Demikian menurut hebahan media Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dititahkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat mengadakan lawatan ke Akademi Remaja Kelab Bolasepak Profesional Hertha Berlin di Schenkendorfplatz, Berlin, Jerman baru-baru ini.

Keberangkatan Baginda disambut oleh Timbalan Ketua Akademi kelab ditubuhkan pada tahun 1892 yang juga dikenali sebagai Hertha, Berliner Sport-Club e. V. atau Hertha BSC dan bermain dalam Liga Tier 2 Bundesliga DFB-Pokal itu, Andre Henning.dan Pengurus Projek Digitalisasi, I.T., Pemasaran dan E-Sports kelab berkenaan, Dustin Rusteberg.

Mengiringi Baginda ialah Mahzan Abdul Samad yang mewakili Jens Weller, Pengarah Urusan Weller Sports & Entertainment dan
Pengerusi Panel Ad-Hoc Timbangtara Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan Sukan SEA 2023 di Kemboja yang juga Pengarah Rajasekaran Advocates & Solicitors, Datuk M. Rajasekaran.

Yang menariknya, kompleks sukan kelab ini merupakan “pusat sehenti” kepada segala aspek operasi harian, pengurusan, persekolahan termasuklah tempat tinggal untuk pemain-pemain yang memerlukan kemudahan asrama.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas itu turut berkenan meluangkan masa melawat Stadium Olimpik Berlin, berkapasiti 74,475 penonton yang terletak di Olympischer Platz iaitu bersebelahan dengan kompleks Hertha Berlin di Charlottenburg-Wilmersdorf. Stadium itu juga merupakan tuanrumah kepada temasya Sukan Olimpik Musim Panas 1936.

Stadium ini merupakan “homeground” kepada pasukan kebangsaan Jerman. Ia juga digunakan oleh kelab Hertha Berlin yang kini sedang bertanding hebat untuk melayakkan diri ke tahap tertinggi Bundesliga dan kejohanan-kejohanan pada tahap Eropah. Berdasarkan konsep “The Berlin Way”, kelab Hertha Berlin ini juga memaparkan konsep yang dipraktikkan oleh kelab-kelab Bundesliga yang lain, yang mana mereka menitik beratkan kemajuan bolasepak dan sukan seiring dengan pelajaran dan jatidiri individu pemain-pemainnya.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button