Berita

Raja Muda saran rakyat Perlis amal pengurusan masa berkualiti

Rakyat Perlis disarankan agar sama-sama mengamalkan sikap ‘Pengurusan Masa Yang Berkualiti’.

Ini adalah kerana, kecemerlangan itu tidak berlaku secara kebetulan. Manusia yang cemerlang amat perlu merancang kejayaannya kerana “manusia yang gagal merancang sebenarnya merancang untuk gagal”.

Antara aspek perancangan yang sering diberikan keutamaan ialah pengurusan masa. Ramai mengeluh bahawa masa ‘tidak mencukupi’. Justeru itu, mereka gagal dalam banyak perkara. Sebenarnya, semua manusia diperuntukkan 24 jam sehari, sama ada manusia itu berjaya mahupun tidak.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Derma, Kangar, Tahun 2020’ berslogankan “Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan” anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) itu dihadiri oleh 357 pelajarnya pada tengahari tadi.

Keberangkatan tiba baginda berdua di Dewan Syed Mahmood sekolah berkenaan disambut oleh Pengetua, Fauziah Abdul Hamid, Penolong Kanan Pentadbiran, Rhuzaimah Ramli serta Ketua Penyelaras Bersama Program iaitu Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir dan Hakim Khan.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Perlis, Hj Izmi Ismail dan Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Tambah baginda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis, menyentuh mengenai bidang akademik di sekolah-sekolah, sebagai contoh ada pelajar mengeluh mereka belajar 4 jam sehari tetapi tidak mendapat apa-apa daripada ulang kaji tersebut. Ada pula yang hanya belajar 2 jam sahaja tetapi mendapat keputusan cemerlang. Perbezaaan sedemikian wujud hasil kualiti masa yang digunakan. Oleh itu, pelajar perlu memberikan perhatian kepada kuantiti dan kualiti masa. Masa yang dirancang dengan efektif dapat melahirkan modal insan holistik dan cemerlang.

Pengurusan masa berkualiti membantu meningkatkan kecemerlangan diri. Pelajar cemerlang menggunakan teknik yang betul dalam menguruskan masa seharian. Mereka biasanya menyusun jadual yang fleksibel tetapi dipenuhi slot berfaedah seperti mengulang kaji, beriadah, beribadah, membantu ibu bapa dan sebagainya lagi.

Bersempena kunjungan tersebut baginda berdua turut berkenan merasmikan ‘Laman Integrasi Derma’ sejurus berangkat tiba.

Sekolah Kluster Kecemerlangan ini telah mengecapi pelbagai kejayaan cemerlang sepanjang tahun 2019 yang lalu termasuklah pelbagai pingat di peringkat antarabangsa di 3rd Phatthalung Thailand International Academic Competition.

Di peringkat kebangsaan pula, memenangi beberapa pingat emas di Karnival Boling Padang Kebangsaan dan juga Pertandingan Penulisan Kreatif Bahasa Cina dan Catur Bawah 18 tahun. Ia juga mendapat naib johan Kejohanan Ragbi Terbuka Arau 7’s.

Anugerah-anugerah lain diperolehi tahun lalu adalah ‘Anugerah Pengiktirafan 5 Bintang KPM – Perkhidmatan Bimbingan dan Kaunseling Cemerlang Kebangsaan’ serta ‘Anugerah Pengiktirafan 5 Bintang KPM – Program Sahsiah Terpuji Cemerlang Kebangsaan’.

Untuk rekod, Tuanku Syed Faizuddin Putra sendiri adalah alumni sekolah berkenaan menuntut dari tahun 1980-1982.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button