Nasional

Raja Muda Perlis ucap takziah keluarga mendiang Sarjan Baharuddin

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil merakamkan ucapan takziah kepada Puan Relow a/p Alang atas pemergian suami tersayang, mendiang Sarjan Baharuddin bin Ramli yang terkorban semasa menjalankan tugas pada awal pagi 24 November 2020 di Perlis beberapa hari yang lalu dan berharap agar seisi keluarga akan terus tabah dalam mengharungi ujian ini.

Menurut baginda, sesungguhnya pemergian mendiang merupakan kehilangan yang besar buat kita semua. Pengorbanan mendiang dan segala jasa bakti yang dicurahkan oleh mendiang amatlah dihargai dan akan dikenang. Mendiang merupakan wira negara yang sanggup mengadaikan nyawa demi mempertahankan kedaulatan negara.

Pada masa yang sama baginda berdua turut mengutuskan ucapan takziah kepada Komandernya, iaitu SAC Abdul Ghani Hj. Mohamad Ji dan seluruh anggota Briged Utara Pasukan Gerakan Am Polis DiRaja Malaysia terutamanya Pasukan Batalion 3 PGA yang diketuai oleh Superitendan Rosman Kasman atas pemergian mendiang Sarjan Baharuddin.

Dikesempatan tersebut juga, baginda berdua menzahirkan ucapan penghargaan dan terima kasih yang tidak terhingga atas komitmen dan semangat yang ditunjukkan oleh seluruh anggota Briged Utara Pasukan Gerakan Am PDRM dalam menjalankan tugas mempertahankan kedaulatan negara dan mendoakan agar seluruh warga kerja serta seisi keluarga sentiasa berada dalam keadaan sihat walafiat, dilanjutkan usia dan dimurahkan rezeki serta dipermudahkan segala urusan.

Demikian titah baginda kepada Superitendan Rosman di majlis penyerahan mesin penapis air sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) untuk kegunaan para anggota PGA yang diadakan berdekatan kawasan Pos PGA Bukit Putih Kuala Perlis pada lewat petang semalam.

Hadir sama mengiringi baginda sempena program ‘MAIPs Peduli bilangan ke 67 bagi tahun 2020 yang bermula dan berakhir di perkarangan kampus Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) di Kuala Perlis itu ialah Ketua Polis Daerah Kangar, Superitendan Wari Kiew dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sebanyak tiga buah keluarga asnaf terpilih dari kalangan anak kariah Masjid Saidina Abu Bakar Kg Seberang Ramai Kuala Perlis menerima sumbangan bantuan agihan zakat MAIPs daripada baginda.

Terdahulu baginda turut dipersembahkan taklimat mengenai cadangan program keceriaan yang bakal dilaksanakan secara berfasa di kampung berkenaan oleh Mohd Nazim selain meninjau keindahan pemandangan panorama Kuala Perlis yang indah dari atas Jambatan Tuanku Syed Putra.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button