Berita

Raja Muda Perlis titah rakyat perlu belajar hidup dengan Covid-19

Rakyat Perlis perlu mulai belajar untuk hidup dengan pandemik Covid-19. Namun begitu, ini tidak bermaksud kita boleh ‘bebas’ dan mengetepikan semua SOP yang digariskan.

‘Hidup dengan pandemik ini bermaksud kita harus terus mengawal segala risiko dan melakukan pertimbangan sewajarnya ketika menjalani kehidupan.

Ini kerana pandemik Covid-19 belum berakhir dan kita tidak boleh menolak kemungkinan kes terus meningkat dalam beberapa minggu mendatang. Semenjak Pelan Pemulihan Negara (PPN) diperkenalkan, jumlah kes Covid-19 yang dicatatkan juga masih lagi tinggi.

Kita tiada banyak pilihan dan antara yang terbaik buat masa ini adalah kita terpaksa membudayakan hidup dengan Covid-19 walaupun pandemik ini masih menjadi ancaman utama kita.

Demikian dititahkan oleh Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena kempen ‘Perlis Hebat : Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan’ menurut hebahan media yang disiarkan oleh Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.

Menurut baginda, ‘Rakyat negeri ini perlu sedar bahawa kita tidak boleh bergantung hanya kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan dari masa ke semasa semata-mata. Cara hidup baharu ini perlu melibatkan semua lapisan masyarakat dengan sentiasa memantau status kesihatan diri dan keluarga tersayang, menjaga penjarakan sosial, memakai pelitup muka dan mencuci tangan menggunakan sabun atau cecair pembasmi kuman.

Sementara itu Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Sirajuddin Hashim memperingatkan semua orang dewasa yang berisiko perlu mengamalkan norma baharu yang ketat di rumah supaya penularan terhadap kanak-kanak dapat dielakkan. Begitu juga dengan melakukan pembersihan atau disinfeksi di rumah, menghadkan pelawat dan tiada perhimpunan keluarga atau kenduri dilakukan buat masa ini’.

Tegas beliau, ‘Bagi yang bergejala, dapatkanlah rawatan segera, dan penjagaan khusus perlu diberikan kepada ahli keluarga dalam kategori warga emas, kanak-kanak, kelainan upaya dan berpenyakit kronik’.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button