Rencana

COVID-19: Perpaduan ‘ubat mujarab’ lawan musuh baharu

Oleh: Dr Irmohizam Ibrahim

SUDAH 20 bulan kita bertarung melawan pandemik COVID-19. Hampir 5,000 orang telah terkorban. Ada yang kehilangan lebih daripada satu anggota keluarga. Bilangan mereka yang dijangkiti COVID-19 terus meningkat dengan pantas lagi ketara. Setakat bulan Jun lalu sahaja angka kes jangkitan baharu sudah melebihi 700,000.

Kita berharap bilangan itu tidak mencecah paras satu juta. Untuk itu kita perlu melakukan sesuatu dengan segera. Setiap rakyat perlu melakukan segala yang boleh untuk memerangi COVID-19 habis-habisan daripada terus mengganas dalam kalangan masyarakat di negara ini.

Sebagai salah seorang yang telah tersenarai sebagai pesakit COVID-19, saya dapat memahami kesukaran yang terpaksa dilalui sepanjang detik-detik sukar apabila terkena jangkitan. Sakit, bersendirian dan jauh daripada keluarga. Ini semua detik yang amat menyukarkan dalam hidup kita. Ini belum tambah cabaran yang terpaksa diharungi oleh pegawai-pegawai perubatan dan pihak hospital. Saya yakin setiap daripada kita tidak mahu menjadi mangsa COVID-19. Saya amat yakin tidak. Tetapi kadangkala ia berlaku tanpa pengetahuan dan tanpa kita sedar.

Saya yakin bahawa hanya ada satu pilihan, iaitu kita perlu bersatu dan mengutamakan perpaduan untuk merantaikan gelombang COVID-19. Ubat sahaja tidak akan mampu untuk melawan COVID-19.

Sudah lebih 500 hari, hampir setiap rakyat mendoakan agar kita dijauhi daripada pandemik ini. Nampaknya perjalanan untuk kembali normal masih jauh. Bila kita boleh bergerak dengan bebas dengan tidak memakai pelitup mula dan jarak sosial yang normal.

Di sebalik harapan tinggi yang diperlihatkan oleh rakyat, satu kenyataan yang menarik perhatian adalah pandangan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, yang menekankan bahawa semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia dalam memerangi pandemik COVID-19 dilihat masih kurang. Sikap yang sedemikian turut menyumbang kepada peningkatan kes positif. Malah, menurut beliau, pematuhan prosedur operasi standard (SOP) oleh semua pihak masih menjadi isu walaupun pandemik itu telah melanda negara lebih setahun. Beliau menyimpulkan begini: “Saya fikir ia masih kurang kerana terdapat perselisihan dari segi perpaduan, kita berlawan sesama sendiri dari segi pendapat, pendekatan dan sebagainya, dan bukannya melawan menentang virus ini.”

Noor Hisham turut memberi jaminan bahawa semasa krisis ini, setiap keputusan dibuat dengan pertimbangan mendalam. Pelbagai aspek dan faktor diambil kira demi manfaat setiap rakyat. Tambah beliau, “apabila anda mempunyai kehidupan dan mata pencarian, keseimbangan antara kesihatan dengan ekonomi, bagaimana anda mewujudkan keseimbangan yang betul, ini sangat sukar dan mencabar…untuk mendapat kesan yang minimum pada ekonomi dan hasil maksimum pada kesihatan.” Itulah sebabnya, tegas beliau, mengapa kadang-kadang ia tidak mudah, kerana anda perlu mengambil pertimbangan banyak perkara sebelum membuat sesuatu keputusan.”

Saya dapat melihat isi hati beliau yang memimpin barisan hadapan dalam melawan krisis kesihatan terburuk ini. Bukan sahaja muncul di media hampir setiap hari sepanjang 18 bulan lalu, malah berhadapan dengan pelbagai ujian, dugaan dan cabaran dalam memastikan kita benar-benar bebas dan menang dalam pertarungan ini. Tidak ada personaliti yang muncul dalam media setiap hari selamat 18 bulan. Maka, apabila beliau mengatakan bahawa kita kurang memperlihatkan semangat perpaduan dan kesatuan dalam tindakan dan amalan, saya selaku anggota panel pemikir perpaduan negara, tersentak sedikit.

Noor Hisham melihat jauh dan dari sudut yang berbeza mengenai keperluan kita bersatu hati dan bersatu tenaga dalam menghadapi detik-detik yang sukar seperti sekarang. Jika kita sanggup bersatu padu dalam melawan musuh negara, kita juga wajar memperlihatkan semangat perpaduan dalam memerangi virus yang menghantui, bukan sahaja Malaysia, malah satu dunia.

Beberapa hari sebelum itu, beliau juga menarik perhatian bahawa dua minggu akan datang merupakan satu tempoh yang kritikal dalam memerangi pandemik COVID-19. Tempoh yang beliau maksudkan itu adalah detik-detik yang kita lalui sekarang. Tegas beliau, tempoh dua minggu pelaksanaan ‘lockdown’ atau sekatan pergerakan penuh sekarang amat kritikal untuk negara mengurangkan bilangan kes kepada 4,000. Pada 21 Jun jumlah jangkitan telah menurun ke paras 4,600 kes, rendah dalam seminggu lalu, tetapi masih belum menurun ke paras di bawah 4,000. Dalam tempoh itu dan seterusnya, kerjasama semua pihak amat diperlukan untuk membantu melandaikan lekuk COVID-19.

Diharap jangkitan kes-kes baharu dapat dikurangkan ke paras terendah dalam beberapa minggu ini untuk kita merasai kejayaan keluar daripada pandemik. Pada 21 Jun lalu, jumlah jangkitan COVID-19 di Malaysia telah melepasi angka 700,000 kes. Jumlah kematian pula menghampiri 4,500 kes.

Pandemik COVID-19 telah mengakibatkan impak yang amat mendalam dalam setiap peringkat kehidupan kita, sama ada dalam bentuk kecil ataupun besar. Kita perlu keluar daripada impak yang diakibatkan oleh pandemik ini. Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menyuarakan berkenaan ketidaksamaan bekalan vaksin COVID-19 telah mewujudkan ‘pandemik dua hala’ apabila negara-negara Barat sedang diberi perlindungan manakala yang lebih miskin masih terdedah kepada jangkitan. Menurut pakar-pakar Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), jika dunia bergerak pada trajektori semasa, kesan lebih buruk bakal mengancam, lebih-lebih lagi ke atas golongan pekerja. Agensi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa sekurang-kurangnya 220 juta orang dijangka kekal menganggur di peringkat global pada tahun ini dan kerugian pekerjaan berkaitan pandemik itu tidak akan dibuat sehingga sekurang-kurangnya tahun 2023.

Di peringkat domestik pula terdapat pendedahan yang mengejutkan. Lebih 600,000 isi rumah daripada golongan M40 telah tergelincir ke dalam kategori golongan berpendapatan rendah B40 susulan pandemik COVID-19. Perkembangan ini dikhuatiri akan menjejaskan kualiti kehidupan dan kelangsungan hidup kumpulan tersebut. Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (AEC), Prof Tan Sri Noor Azlan Ghazali menarik perhatian bahawa selain itu, keupayaan golongan M40 untuk memenuhi komitmen-komitmen tetap termasuk menyediakan keperluan asas dikhuatiri turut terjejas. “Jadi, itu (kualiti hidup) bagi saya yang paling utama walaupun kita tahu ada kesan ke atas ekonomi secara keseluruhan kerana mereka akan berbelanja secara kurang tetapi bagi saya kesejahteraan dan kelangsungan hidup mereka itu paling utama. Kesan ke atas pendapatan ini ia merentasi semua kumpulan. Kumpulan yang dikaitkan T20 juga ada yang jatuh kepada M40, sama juga dalam konteks B40.” Malah menurut beliau, “kalau ikut Jabatan Perangkaan, mereka akan pecahkan kategori B1, B2 dan B3, di mana B1 adalah paling rendah.” Bermakna pada semua peringkat ada berlaku kejatuhan, kata beliau dalam satu temu bual media.

Noor Azlan menambah, perbelanjaan isi rumah semua peringkat kumpulan juga secara langsung dijangka berubah terutamanya mereka yang berpendapatan tinggi. “Mereka akan kurangkan dari segi perbelanjaan mengikut kehendak tetapi yang kita risau ialah kumpulan bawah ini, adakah ia mencukupi untuk perbelanjaan yang dianggap keperluan?” soalnya.

Mesej yang disampaikan oleh Noor Hisham dan Noor Azlan perlu kita berfikir dengan mendalam. Direnung dengan mendalam. Kita perlu meningkatkan kerjasama dan sokongan padu bagi kembali kepada kehidupan normal dalam segi.

Berdasarkan pengalaman sepanjang 15 bulan yang lalu, ada perkara yang boleh dan wajar dijadikan pengajaran dalam menghadapi hari-hari yang mencabar. COVID-19 sudah menjadi sebahagian daripada ekosistem kehidupan kita dan seluruh dunia. Meskipun vaksin melawan COVID-19 sudah tiba, tetapi disiplin dan komitmen rakyat semua lapisan, tidak kira kedudukan, kuasa dan taraf, yang akan menjadi penentu sama ada kita benar-benar berjaya atau tidak dalam perang ini.

Hakikatnya, kita belum bebas daripada pandemik ini. Malah, kita belum berjaya menundukkan COVID-19 yang muncul dalam pelbagai varian sekarang. Sama-samalah kita memperlihatkan semangat berkorban dalam misi keluar daripada pandemik COVID-19 dan merasai kembali kehidupan normal. Semua orang menanti sinar baharu. Tidak kira orang perseorangan, ahli politik, pemimpin korporat ataupun kerajaan, semua mempunyai tanggungjawab dan peranan besar dalam misi ini. Amalan sekatan pergerakan kendiri bukan sesuatu yang luar biasa atau sukar untuk dilakukan. Beberapa negara telah menggalakkan rakyatnya berbuat demikian. Malah, negara-negara tertentu yang sudah pun mengorak langkah ke arah itu demi kesihatan dan kepentingan bersama. Ini termasuklah di Taiwan.

Banyak sudah diperkatakan bahawa COVID-19 akan kekal dalam ekosistem kehidupan manusia. Formula untuk menghindari jangkitan atau menghidap penyakit-penyakit serius tidak jauh berbeza. Yang penting, kita perlu mengambil tindakan awal untuk mengelak jangkitan dan dijangkiti. Oleh itu, sebagaimana ditegaskan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, “adalah tanggungjawab setiap lapisan masyarakat” dan “menerima hakikat ini masalah bersama, pendekatan kita bukan ‘whole of government, it is whole of society’.” Pada Jun lalu, dua minggu selepas mengumumkan penguatkuasaan PKP 3.0 atau sekatan secara total buat kali kedua, yang berkuat kuasa mulai 1 Jun, Perdana Menteri juga membentangkan Pelan Pemulihan Nasional yang terdiri daripada empat fasa. Fasa-fasa ini menunjukkan bahawa kita, sebagai rakyat jelata, mempunyai peranan besar untuk dimainkan. Ini memerlukan semangat kekitaan yang jitu untuk melawan musuh terbaharu kita, iaitu COVID-19.

Tidak mustahil bagi kita berjaya dalam ‘perang’ ini, untuk keluar daripada bencana dan krisis yang berterusan. Ini krisis paling buruk dialami dunia. Perlu ada kesatuan dalam tindakan, amalan dan pematuhan peraturan dan undang-undang yang dibuat pihak berkuasa. Ini wajar dilakukan setiap individu tidak kira status, jawatan dan pangkat.

Perpaduan sebenarnya jawapan kepada semua permasalahan. Jika kita bersatu hati, kita boleh keluar daripada masalah besar ini dengan kesan yang luar biasa. Bulat Air Kerana Pembentung, Bulat Manusia Kerana Muafakat!

Dato’ Seri Dr Irmohizam Ibrahim Pengarah Eksekutif Kumpulan World Trade Centre Kuala Lumpur dan Ahli Panel Pemikir Kementerian Perpaduan Negara

(Visited 127 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button