Raja Muda Perlis titah masyarakat jauhi perangkap dadah
Dadah adalah “jalan sesat untuk nikmat sesaat”. Masyarakat hendaklah mengetahui dan mengenali apa itu dadah!
Dadah adalah bahan kimia psikoaktif yang mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan dari segi jasmani yakni fizikal, rohani iaitu mental dan emosi serta tingkah laku kepada pengguna apabila digunakan.
Ketahuilah juga bahawa najis dadah masih menjadi musuh nombor 1 negara. Justeru, kita perlu bersama untuk memerdekakan anak bangsa kita daripada ancaman dadah dengan memeranginya secara habis-habisan.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail setelah berkenan berangkat menghadiri’ Program Hijrah Minda MAIPs Bilangan ke 9 bagi tahun 2021’ bagi menyerahkan bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 25 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid Masjid Al-Ghufran Batu 2 Lama Jalan Kaki Bukit, Kangar.
Keberangkatan tiba baginda yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Dr Hazman Hassan.
Turut berangkat ialah anakanda baginda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail.
Tambah Tuanku Raja Muda, baginda disembahmaklumkan bahawa penyalahguna dadah mempunyai ciri-ciri seperti menggunakannya bukan bagi tujuan perubatan dan penggunaannya adalah dilarang serta ianya diperoleh secara haram.
Menurut baginda lagi, ‘Terdapat langkah awal ke arah pengambilan dadah iaitu bermula dengan merokok, menghidu gam, pengambilan ubat batuk serta air ketum’.
Turut diadakan ialah promosi peluang menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs, selain ceramah bertopik ‘Rakyat Perlis Hidup Sejahtera – Benci Najis Dadah’ yang disampaikan oleh wakil daripada jabatan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Negeri Perlis.