Nasional

Raja Muda Perlis titah masyarakat berfikiran terbuka berdepan situasi Covid-19

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa ‘Masyarakat hari ini harus mulai berfikir dengan lebih terbuka, bersedia dan menyedari bahawa kita akan harus berhadapan situasi Covid-19 ini dalam satu tempoh masa yang agak lama lagi. Ini kerana dunia hari ini saling terhubung antara satu sama lain. Buat masa ini, masih belum banyak negara yang kita tahu, mampu mengistyharkan bahawa mereka kini telah benar-benar terselamat daripada pandemik ini. Malah selain di tempat kita, beberapa negara ASEAN lain berjiran dengan Malaysia juga terus bergelut dengan peningkatan kes jangkitan dan kematian akibat Covid-19 dalam tempoh 24 jam kebelakangan ini’.

‘Kita juga sedar bahawa dalam tempoh 18 bulan yang lalu, kita sudahpun sama-sama menempuhi empat atau lebih gelombang Covid-19 di negara ini dan di seluruh dunia.
Justeru, pendekatan yang terbaik adalah dengan memastikan seluruh dunia bekerjasama dalam menjalankan program vaksinasi masing-masing supaya imuniti kelompok berjaya dibentuk. Walaupun begitu, sehingga saat tersebut, varian baru akan terus muncul dari masa ke semasa secara berkala dan akan memberikan lebih banyak cabaran kepada kita dan juga dunia’.

Demikian titah baginda selepas berkenan berangkat menyantuni dan menyampaikan bantuan agihan zakat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) kepada asnaf Saad Khamis, 74 tahun yang tinggal bersama keluarga anak beliau di Jalan Kelab Golf Putra dekat Kangar.

Beliau yang merupakan seorang bekas anggota kerahan Tentera Darat Malaysia ketika usia mudanya menghidap penyakit darah tinggi dan merupakan salah seorang penerima ‘Bantuan Fitrah MAIPs’ dan juga ‘Bantuan Rumah MAIPs’.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, menyentuh mengenai situasi semasa Covid-19 di negeri ini, terdapat 61 kes positif yang mana 40 kes adalah tempatan, 3 kes import B dan 18 tahanan dilaporkan pada hari semalam yang mana Tuanku Raja Muda menasihatkan supaya semua anggota masyarakat terus memainkan peranan masing-masing sebagai rakyat bermentaliti kelas pertama dalam tindakan dengan memastikan mereka tidak mendedahkan diri kepada risiko jangkitan dengan berusaha sedaya upaya mengelakkan diri daripada berada di tempat yang sesak dan terkurung dalam tempoh masa yang lama selain sentiasa elakkan bersembang dengan rakan-rakan dalam jarak yang dekat walaupun memakai topeng muka.

Menyentuh perkara yang sama, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim pula menyarankan supaya memastikan mereka disuntik vaksin bagi meningkatkan sistem pertahanan tubuh masing-masing dan tiada diadakan perhimpunan keluarga atau kenduri kendara buat masa ini. Semoga dengan langkah-langkah ini, kita dapat mengelakkan jangkitan di kalangan ahli keluarga tersayang, rakan sekerja dan jiran tetangga’, jelas beliau.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button