
Raja Muda Perlis seru rakyat hargai keamanan negara
ARAU – Rakyat diseru untuk menghargai keamanan yang dinikmati serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengekalkan kestabilan negara.
Keamanan bukan sesuatu yang boleh diambil mudah, sebaliknya ia merupakan satu anugerah yang perlu dijaga dengan penuh tanggungjawab. Harus ditekankan bahawa kestabilan sesebuah negara boleh terjejas sekiranya rakyatnya berpecah-belah dan gagal mempertahankan nilai-nilai keadilan serta keharmonian.
“Kita harus menghargai keamanan yang kita nikmati hari ini, bukan sahaja dengan rasa syukur tetapi juga dengan usaha untuk menjaganya. Umat Islam perlu bersatu, menjaga perpaduan, dan memastikan keharmonian masyarakat terus dipelihara”.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mengetuai Kayuhan MAIPs Peduli di sekitar Jejawi, Arau baru-baru ini.
Kayuhan amal yang dianjurkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama IJM Corporation Berhad yan turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Lee Chun Fai pada sesi kali ini bertujuan bagi mengurangkan kadar kemiskinan golongan yang kurang bernasib baik di negeri ini.
Ketua-ketua jabatan dan agensi Negeri serta Persekutuan turut menyertai program bagi memastikan inisiatif murni ini melibatkan semua jabatan dan agensi negeri seterusnya memberikan impak ke tahap paling maksima.
Tuanku Raja Muda Perlis merangkap Yang DiPertua MAIPs berkenan untuk menyerahkan sumbangan MAIPs kepada asnaf yang terpilih iaitu Kasim Ayub, 79 tahun dari Jejawi Alor Lanchang, Saudah Ismail, 79 tahun dari Kampung Changkat Lada dan Sahizal Saad, 49 tahun dari Kampung Bakong.
Masing-masing menerima bantuan wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan harian sekeluarga.