Nasionalpilihan

Raja Muda Perlis seru masyarakat pupuk semangat patriotik dengan sertai askar wataniah

Raja Muda Perlis Brigedier Jeneral Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru kepada masyarakat agar bersama-sama mencetuskan ilham, menyebar luas serta menarik minat anak bangsa dan menyubur sikap patriot dalam diri mereka masing-masing untuk menyertai Rejimen Askar Wataniah sebagai seorang anggota sukarelawan atau sukarelawati.

Menjadi kerugian sekiranya jiwa dan keringat belia yang sihat tubuh badan dan memenuhi segala tahap minima fizikal dan pendidikan yang diperlukan oleh Tentera Darat Malaysia dibiarkan dan tidak digunapakai bagi tujuan yang mulia seperti ini. Tugas ini amatlah berat namun akan menjadi ringan sekiranya dilakukan dengan niat yang tulus dan secara kolateral.

Demikian titah baginda ketika berkenan berangkat menghadiri ‘Majlis Makan Malam Gala Rejimen 504 Askar Wataniah Tahun 2021’ yang diadakan di Dewan Harumanis Politeknik Tuanku Syed Sirajuddin (PTSS), Pauh Putra.

Keberangkatan tiba baginda dan Raja Puan Muda, Mejar Kehormat Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil disambut oleh Timbalan Komander, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak dan para pegawai kanan rejimen.

Hadir sama ke majlis yang dianjurkan bersempena Sambutan Hari Ulang Tahun Rejimen Ke-41 semenjak dari penubuhannya pada 7 September 1980 tersebut ialah Panglima Briged Ke 6 Infantri Malaysia Brigedier Jeneral Mohd Akib Haji Yusof dan Pengarah PTSS Abdul Malek Hassan.

Tuanku Syed Faizuddin Putra selaku Komander Rejimen tersebut sejak 19 tahun yang lalu itu turut berharap agar kemasukan, keaktifan dan pengekalan anak watan Perlis akan kembali meningkat dalam Angkatan Simpanan Tentera Darat berkenaan bertepatan dengan asas penubuhan Askar Wataniah itu sendiri.

Baginda juga berbangga kerana asosiasi antara pihak Rejimen dan awam dampak ketara sepanjang tahun 2021 ini walaupun dengan serangan pandemik Coronavirus yang kelihatan tiada penamatnya apabila segala latihan Anggota Sukarela, promosi secara bersemuka dan pelbagai aktiviti lain yang dianjurkan jelas menunjukkan bahawa Rejimen yang bermotokan “Di Latih Untuk Perang” ini sentiasa bermesyuarat dan berusaha memastikan amanah yang diberi oleh tampuk pemerintahan tertinggi dalam menyediakan anak watan Perlis berminat menyertai pasukan ini terus dapat direalisasikan.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button