
Raja Muda Perlis sempurnakan sambutan Syawal MAIPs
KANGAR 15 April – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, hari ini berkenan menyempurnakan Majlis Raikan Syawal MAIPs 1446H/2025M dan Penghargaan Zakat Pendapatan melalui Potongan Gaji Negeri Perlis Tahun 2024 serta Kolaborasi Akademi Transformasi Asnaf MAIPs yang berlangsung di perkarangan Pejabat MAIPs, Pengkalan Asam, Kangar.
Mengiringi keberangkatan Baginda ialah Paduka Anakanda Baginda, Puteri Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail.
Majlis berkenaan bertujuan menyantuni para penyumbang zakat pendapatan menerusi potongan gaji sepanjang tahun 2024, serta meraikan beberapa rakan strategik dalam memperkukuh agenda pembangunan asnaf di negeri Perlis. Selain itu, turut dilaksanakan ialah penyampaian penghargaan kepada jabatan-jabatan yang menunjukkan komitmen tinggi dalam menjayakan kutipan zakat melalui potongan gaji bagi tahun lalu.
Pada Majlis berkenaan, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) dinobatkan sebagai Agensi tertinggi yang menyumbangkan zakat melalui potongan gaji manakala Hospital Tuanku Fauziah (HTF) berjaya mencatatkan sumbangan tertinggi bagi kategori Jabatan Kerajaan.
Selain itu, turut diraikan penyumbang tertinggi kategori sekolah menengah dan rendah iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi dan Sekolah Kebangsaan Tengku Budriah manakala Cement Industries of Malaysia Berhad (CIMA) mendapatkan penghargaan bagi kategori agensi swasta.
Majlis turut diserikan dengan kehadiran empat agensi kolaborasi strategik yang akan melaksanakan program pembangunan kemahiran di bawah Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM) iaitu Walta Centre of Excellence (WCOE), The Welding Institute (TWI), Akademi Binaan Malaysia Wilayah Utara (ABM), dan Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd. Kesemua agensi ini akan berganding bahu bersama MAIPs dalam menyediakan latihan kemahiran teknikal dan profesional kepada golongan asnaf melalui pendekatan bersasar dan bersijil, bertujuan untuk memperkasa mereka ke arah kehidupan yang lebih berdikari dan produktif.
Antara program yang diumumkan kerjasama pelaksanaan bersama ATAM bagi Tahun 2025 adalah Program Lanjutan Kejuruteraan Automasi Industri dan Operasi Pemesinan dengan kerjasama Walta Centre of Excellence (WCOE) yang melibatkan peruntukan sebanyak RM1,451,325 untuk manfaat 75 orang peserta. Sementara itu, The Welding Institute (TWI) akan melaksanakan Program Lanjutan Latihan Kemahiran Tinggi IR 4.0 dalam bidang Kimpalan dan Pengujian Tanpa Musnah (Non-Destructive Testing) dengan kos berjumlah RM1,733,000 melibatkan 60 orang peserta.
Turut dipersetujui ialah Program Lanjutan Latihan Kemahiran Industri Pembinaan dengan kerjasama Akademi Binaan Malaysia (ABM) Wilayah Utara yang akan melibatkan peruntukan sebanyak RM309,420.00 bagi 35 orang peserta. Selain itu, Kulim Advanced Technologies Sdn Bhd akan melaksanakan Program Latihan Kemahiran Teknikal dan Pensijilan Profesional berjumlah RM522,560.00 yang memberi manfaat kepada 40 orang peserta.
Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dalam ucapan beliau, mengucapkan setinggi penghargaan atas usaha dan kerjasama semua pihak dalam memperkukuh jaringan kebajikan dan pembangunan asnaf di negeri ini.
“Usaha memperkasakan golongan asnaf tidak seharusnya terbatas kepada pemberian bantuan semata-mata, tetapi harus dilengkapi dengan strategi peningkatan kapasiti jangka panjang yang mampan dan berpaksikan nilai tanggungjawab bersama,” jelas beliau.
Majlis kemudian diteruskan dengan jamuan Aidilfitri yang disediakan oleh 10 peserta asnaf yang telah menerima pelbagai jenis bantuan dan bimbingan usahawan daripada MAIPs.
FOTO