Nasional

Raja Muda Perlis saran terapkan kualiti dalam pelaksanaan kerja

SETIAP warga sesebuah organisasi tidak kira di peringkat mana sekalipun di negeri Perlis ini hendaklah menerapkan kualiti untuk mampu bekerja sama dalam sebuah kumpulan kerana di dalam melaksanakan sesuatu, seseorang itu sesungguhnya tidak dapat bekerja bersendirian.

Kerjasama dalam kumpulan ini mampu mencorak dan menggerakkan organisasi masing-masing ke arah yang lebih cemerlang.

Selain daripada itu, tidak boleh ada seseorang yang bersikap sombong, angkuh dan membangga diri dalam organisasi. Sebaliknya, hendaklah sentiasa merendah diri atau ‘humble’.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat melawat dan meninjau bangunan baru Klinik Kesihatan Kampung Gial, Arau yang sudah hampir siap baru-baru ini.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi oleh anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Pengarah Kesihatan Negeri Perlis, Dr Sirajuddin Hashim serta para pegawai klinik berkenaan yang bakal dibuka untuk pengoperasian dalam beberapa bulan lagi.

Tambah Tuanku Raja Muda, setiap warga sesebuah organisasi juga hendaklah memiliki sifat ingin tahu demi untuk mengembangkan kemampuan dirinya dengan sentiasa belajar perkara-perkara yang baharu.

Tuanku Syed Faizuddin Putra juga amat berharap semua warga di setiap organisasi di negeri Perlis ini sentiasa berusaha keras dengan penuh dedikasi, rajin dan berfokus untuk memiliki ciri-ciri sikap yang telah disebutkan supaya sentiasa cemerlang dan seterusnya menjadi pemacu kemajuan negeri ini di masa akan datang.

Pada kesempatan yang sama, menyentuh mengenai sambutan Aidilfitri yang berbeza akibat penularan Covid-19 kali ini, baginda sekali lagi mengingatkan supaya seluruh masyarakat mengamalkan tata kelakuan yang dinasihatkan oleh pihak berwajib seperti tidak bersalaman dan bersentuhan, tidak berkongsi makanan atau minuman dan bekas makanan serta memendekkam waktu pertemuan yakni ‘contact’.

Selain daripada itu, sanitasilah secara berkala terutamanya terhadap meja makan dan permukaan yang terdedah kepada banyak sentuhan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button