Raja Muda Perlis saran rakyat manfaat tempoh PKP
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah mengajak seluruh rakyat negeri ini agar memanfaatkan setiap hujung minggu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sekarang ini untuk bersama-sama memastikan satu suasana baru di rumah masing-masing supaya lebih berkualiti dan tersusun hingga mampu mewujudkan persekitaran yang lebih bersih, kondusif, selesa dan kemas umpama kata-kata ‘Rumah Ku Syurga Ku’.
Sepertimana yang pernah dititahsarankan oleh baginda sebelum ini, ‘Masyarakat Perlis hendaklah menggunakan masa terluang keemasan seperti sekarang ini bagi bersama-sama bertungkus lumus memastikan kawasan rumah baik di bahagian dalam mahupun di luar iaitu kawasan halaman masing-masing sentiasa berada dalam keadaan rapi.
Tiada lagi alasan untuk kita melihat dari jalan besar dinluar kawasan rumput lalang naik tak dipotong, rimbunan dahan dan daun pokok tidak terurus dan tong-tong sampah tidak ditutup, sampah sarap bertaburan, parit tersumbat dan sebagainya lagi kerana kita semua kini ada banyak masa di rumah.
Juga janganlah sekadar memberikan alasan cuaca yang kerap hujan kerana banyak lagi yang dapat dilaksanakan di bawah bumbung untuk dibersihkan, dilap, dinyah kuman dengan bahan bersesuaian dan selamat. Begitu juga membersihkan fabrik termasuklah pakaian, cadar, langsir, alas meja, alas kaki, sarung kusyen dan sebagainya dari masa ke semasa.
Pada masa yang sama bahagian bumbung rumah hendaklah dipantau supaya tidak bocor, siling tidak berhabuk, begitu juga kipas dan sarang-sarang laba dibersihkan, yang mungkin selama ini tidak begitu diberikan perhatian sebaiknya.
“Setiap ketua keluarga mestilah tampil ke hadapan mengambil tanggungjawab untuk memastikan setiap ahlinya memahami peranan masing-masing dan inilah juga peluang untuk anda memimpin ke arah keselesaan suasana di rumah terutama dalam mengharungi ‘norma hidup baru’ yang dilalui semua ketika ini yang membuatkan kita semua mesti menghabiskan masa yang lebih banyak dan lama di rumah.
Tambah Tuanku Raja Muda lagi, barangan yang sudah tidak digunakan tetapi masih berkeadaan baik juga boleh diasingkan untuk dikitar semula atau diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan selepas tamat PKP nanti.
Baginda juga mengharapkan ketua-ketua masyarakat setempat dan ajk-ajk khususnya di kampung, taman atau lorong untuk menggunakan kebijaksanaan mereka mengambil inisiatif melaksanakan gotong royong ‘ala norma baru’ dengan membuat jadual penggiliran penugasan kerja-kerja pembersihan serta keceriaan kawasan masing-masing secara individu atau mengikut keluarga tetapi berterusan dan tidak lagi secara serentak beramai-ramai yang dipraktikkan sebelum ini dalam tempoh ini.