Uncategorized

Raja Muda Perlis Santuni Masyarakat Muslim di Satun, Thailand

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menyantuni masyarakat Muslim di Wilayah Satun, Thailand dalam kunjungan yang penuh bermakna.

Lawatan pada kali ini bertujuan memperkukuhkan lagi hubungan persaudaraan antara masyarakat Muslim di Perlis dan Satun serta menyokong pembangunan aktiviti dakwah dan kemasyarakatan di kawasan tersebut.

Dalam kesempatan itu, Tuanku Raja Muda berkenan menyampaikan sumbangan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM2,000 kepada Masjid Darul Jannah Satun, yang terletak berhadapan pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Satun.

Sumbangan tersebut akan digunakan untuk pelbagai aktiviti dakwah dan kemasyarakatan yang dirancang oleh pihak masjid.

Selain itu, Baginda turut berkenan menyerahkan  sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Sekolah Agama Miftahul Jannah Ban Khuan, Satun, yang diterima oleh mudir sekolah tersebut, Haji Mamood Yatikul bin Haji Sujok.

Dana tersebut akan membantu pihak sekolah dalam meningkatkan mutu pendidikan agama dan kemudahan pembelajaran.

Turut mengiringi Baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor; Ketua Bahagian Pembangunan Wakaf dan Hartanah MAIPs, Mohd Nazri Rejab; serta Ketua Bahagian Pengurusan Zakat MAIPs, Syed Aisam Syed Idris.

Kunjungan ini mencerminkan keprihatinan berterusan Tuanku Syed Faizuddin Putra  terhadap masyarakat Islam serantau, khususnya dalam menyokong usaha memartabatkan agama dan memperkukuhkan ukhuwah Islamiah. – SM

GALERI

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button