Berita

Raja Muda Perlis rasmi Pesta Buku Perlis

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan ‘Pesta Buku dan Karnival Pembaca Perlis 2020’ yang berlangsung di Auditorium Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Perlis pada pagi semalam.

Turut mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Pengarah Prasarana Ilmu Dan Maklumat Perpustakaan Negara, Abd Rahman Sudin yang mewakili Ketua Pengarah Perpustakaan Negara Malaysia dan Pengarah Jabatan Perpustakaan Negara Negeri Perlis Azizi Janan.

Dalam titah ucapan sempena perasmian tersebut, Tuanku Raja Muda Perlis begitu gembira kerana program ini merupakan satu bentuk usaha bagi menggalakkan lagi rakyat menvariasikan budaya membaca seterusnya memperkasa jati diri dalam era dunia tanpa sempadan hari ini.

Baginda turut berharap seluruh masyarakat mengambil peluang ini bagi melibatkan diri dalam program-program galakan membaca yang dianjurkan dan secara tidak langsung bakal memberi manfaat yang tidak ternilai kepada semua para pengunjung perpustakaan.

Menurut baginda lagi, program ini mendapat sambutan yang amat menggalakkan menyebabkan Pesta Buku ini dianjurkan saban tahun. Pada tahun 2019 yang lalu seramai 15,000 pengunjung ke Pesta Buku dan Karnival Buku Perlis samada untuk mendapatkan bahan bacaan ataupun menyertai pelbagai aktiviti. Malah, terdapat juga pengunjung yang datang dari luar negeri Perlis.

“Ini merupakan berita baik kepada penganjur kerana program ini telah merentas sempadan negeri dan menunjukkan bahawa ia berimpak tinggi. Bertitik-tolak daripada dapatan seperti inilah, pihak penganjur perlu merencana strategi yang lebih menarik bagi mendapatkan lebih ramai lagi pengunjung dan meningkatkan kuasa beli bahan bacaan masyarakat”.

Tuanku Syed Faizuddin Putra menambah bahawa kaedah atau teknik promosi juga memainkan peranan penting dalam mempromosikan perkhidmatan yang disediakan di Jabatan. Teknik promosi yang berkesan dan menarik, sama ada melalui media massa atau sosial meningkatkan “engagement” masyarakat dengan Jabatan. Sebaiknya, kita merancang teknik yang sesuai dengan imej Jabatan dan berimpak. Kesannya, penganjur akan mendapat penambahan dari segi bilangan pengunjung, peningkatan hasil Jabatan, maklumbalas yang baik serta pelbagai lagi.

Tuanku Raja Muda juga menyeru pihak Perpustakaan supaya mengekalkan
momentum, proaktif serta kreatif dalam usaha menarik minat pengunjung ke perpustakaan. “Saya berharap program-program pembudayaan membaca turut dijenamakan semula supaya lebih “catchy” dalam menarik pengunjung”.

Sebagai info, Pesta Buku dan Karnival Pembaca Perlis 2020 berlangsung dari 25 Februari sehingga 1 Mac ini menawarkan pelbagai ‘booth’, pameran, jualan buku dan potongan harga yang istimewa sehingga 80 peratus serta pelbagai aktiviti sampingan yang menarik turut disediakan kepada pengunjung di pelbagai peringkat umur.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button