Raja Muda Perlis rasmi persidangan Kerusi Jamalullail secara digital
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan majlis perasmian ‘Persidangan Antarabangsa Kerusi Jamalullail Untuk Sunnah Nabawiyyah (JCIC1)’ secara digital pada pagi tadi.
Persidangan antarabangsa selama dua hari iaitu pada 18 dan 19 November 2020 ini dianjurkan buat julung kalinya oleh Pejabat Kursi Jamalullail Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Bahagian Pengajian Qur’an dan Sunnah, Kulliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan UIAM dengan kerjasama daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Sebanyak 92 kertas kerja akan dibentangkan secara maya oleh para pembentang daripada dalam dan luar negara termasuklah Indonesia, Brunei Darussalam, Arab Saudi, Palestin, Mesir, Kuwait, Yaman, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Qatar, Iraq, Bangladesh, Turki dan Libya, selain negara tuanrumah Malaysia.
Tuanku Raja Muda Perlis menitahkan bahawa persidangan antarabangsa ini turut menggambarkan matlamat dan hasrat Raja Perlis DYMM Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenaan penubuhan Kerusi Jamalullail di UIAM itu sendiri’.
‘Tema persidangan ini bukan sahaja mengetengahkan masalah yang sangat penting dalam disiplin, tetapi juga menyiratkan pentingnya mencari penyelesaian terhadap sebarang masalah melalui pengetahuan dan perbincangan objektif’.
Persidangan ini juga bertujuan membentuk masyarakat yang lebih selari dengan kekayaan dan kemampuan menyesuaikan teks-teks Al-Quran dan kenabian, sekaligus meningkatkan kesedaran akan perlunya pendukung yang kuat sebagai dasar perbahasan.
Menurut baginda, antara objektif utama kewujudan ‘Kerusi Jamalullail’ di UIAM adalah bagi menyebarkan pemahaman tentang tradisi keilmuan Islam secara objektif seperti yang dikatakan oleh tradisi itu sendiri dan bukan sekadar dengan mengikuti tafsiran yang impulsif dan tidak dapat diramalkan. Kesan yang diperolehi daripada usaha para akademik ini diharap akan mampu menempatkan kita pada jalan yang benar dalam menghargai perbezaan serta beroleh keberkatan sebagaimana yang telah disabdakan oleh Nabi SAW dalam salah satu hadis Baginda.
Tambah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, ‘Kegagalan memperbaiki kesalahfahaman oleh para sarjana akan menimbulkan kepincangan di kalangan masyarakat umum, yang boleh mengakibatkan perpecahan di samping intoleransi dan ekstremisme’.
Untuk rekod, UIAM dipertanggungjawabkan dalam penubuhan Kerusi Jamalullail bagi memilih calon yang sesuai untuk menerima biasiswa tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Perlis (MAIPs) merangkumi 50 penuntut peringkat Doktor Falsafah (PhD) kategori ‘asnaf’ dari Perlis dan juga negeri-negeri lain.
Link video pelancaran: https://drive.google.com/file/d/1Rq1_KcyT022xUgu300PWEVdufRo1r-Xv/view?usp=sharing