Nasional

Raja Muda Perlis nasihat masyarakat hindari perangkap najis dadah

Masyarakat di negeri Perlis perlu mengetahui cara-cara bagi mengelakkan diri sendiri serta ahli keluarga tersayang masing-masing daripada terlalu mudah untuk terjebak dengan najis dadah iaitu dengan sentiasa meningkatkan keimanan dan amal soleh, berfikiran terbuka, positif, mengurangkan tekanan, bijak mengisi masa lapang serta jangan cepat terpengaruh dengan pujukan rakan sebaya yang tidak baik.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Hijrah Minda MAIPs Kali Yang Pertama bagi tahun 2021’ bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sejahtera – Benci Najis Dadah’ yang diadakan di Masjid Negeri Arau.

Keberangkatan tiba baginda yang diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Tambah baginda, ‘Terdapat beberapa faktor yang sering menyebabkan seseorang individu itu mudah terpedaya dan seterusnya terjebak dengan gejala penagihan najis dadah. Antara yang paling ketara adalah pengaruh rakan, perasaan ingin tahu, keseronokan, tekanan jiwa, menahan kesakitan dan ada juga di kalangan mereka yang secara tidak sengaja’.

Bersempena program tersebut 10 orang asnaf terpilih dari kalangan anak kariah masjid berkenaan menerima bantuan sumbangan agihan zakat MAIPs daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra yang juga merangkap Tuanku Yang DiPertua MAIPs.

Turut diadakan ialah promosi pendaftaran keahlian sukarela dan sukarelawati oleh Rejimen 504 Askar Wataniah Pasukam Simpanan Tentera Darat Malaysia dan peluang menyambung pelajaran di Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) yang bernaung sepenuhnya di bawah MAIPs, selain ceramah bertopik ‘Bahaya Najis Dadah dan Ketum’ daripada wakil Jabatan Agensi Anti Dadah Negara (AADK) Negeri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button