Raja Muda Perlis mahu para graduan persiap diri dengan kemahiran insaniah
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepimpinan dan pemikiran kritis adalah elemen penting dalam dunia pekerjaan. Kemahiran-kemahiran ini akan membantu untuk berinteraksi dengan rakan sekerja, memahami kehendak majikan, dan menyesuaikan diri dengan budaya kerja.
Baginda bertitah, ‘Pengalaman kerja latihan industri memberi pendedahan awal tentang suasana dan tuntutan pekerjaan sebenar. Melalui latihan industri juga, para pelatih telah mempelajari amalan terbaik, pembinaan rangkaian profesional, dan meningkatkan kefahaman tentang keperluan industri’.
“Dunia pekerjaan adalah mencabar daripada segi mental dan fizikal kerana ia melibatkan tanggungjawab yang lebih berat dan tekanan kerja yang berbeza daripada kehidupan di kampus. Dengan persediaan mental yang kukuh, seseorang itu akan lebih mampu menyesuaikan diri, bersikap fleksibel dan mampu menjaga kesihatan mental di tempat kerja”.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika menyempurnakan Sidang Kelima Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Muhamed Ali Hajah Mydin mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti dan Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta pengurusan tertinggi universiti.
Seramai 417 graduan telah terlibat pada sidang pertama ini terdiri daripada Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Elektrik (FKTE).
Menerima Penganugerahan Ijazah Sarjana Muda daripada Tuanku Syed Faizuddin Putra ialah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik Dengan Kepujian (178 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Mekatronik Dengan Kepujian (111 Graduan), Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Elektrik (Kuasa Industri) Dengan Kepujian (55 Graduan), Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik (Teknologi Robotik Dan Automasi) Dengan Kepujian(56 Graduan), dan Sarjana Muda Teknologi Penyelenggaraan Sistem Elektrik Dengan Kepujian (19 Graduan).