Agama

Raja Muda Perlis lancar kadar zakat fitrah Perlis RM9

KUALA PERLIS – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail telah berkenan melancarkan kadar Zakat Fitrah bagi negeri Perlis tahun 1446H/2025M sebanyak RM9, seperti yang telah diperkenankan oleh Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail. Kadar ini ditetapkan berdasarkan harga beras Ghalib Qut al-Balad sebagai asas kiraan. Bagi umat Islam yang memilih untuk menunaikan zakat fitrah dengan beras, kadar yang ditetapkan ialah Satu Gantang Nabawi seorang, bersamaan 2.6 kilogram.

Pelancaran zakat fitrah ini berlangsung dalam Majlis Rukyah Hilal Ramadan yang diadakan di Masjid Al-Hussain, Kuala Perlis. Turut berangkat mengiringi baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil, serta Paduka Anakanda Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail.

Setiap umat Islam yang menetap atau berada di negeri Perlis diwajibkan untuk menunaikan zakat fitrah bagi diri sendiri serta tanggungan mereka. Pembayaran boleh dilakukan melalui amil-amil yang dilantik secara rasmi oleh MAIPs atau menggunakan kaedah pembayaran dalam talian yang telah disediakan bagi memudahkan urusan masyarakat.

Sehubungan itu, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut mengingatkan bahawa kegagalan menunaikan zakat fitrah, sama ada dengan sengaja atau melalui cara yang tidak sah, boleh dikenakan tindakan mengikut Peraturan sedia ada.

Sebagai langkah menggalakkan umat Islam meningkatkan amal kebajikan sempena bulan Ramadan, Baginda turut berkenan melancarkan Kempen Kesedaran Amalan Berwakaf dan Berinfak Tahun 2025. Kempen ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan wakaf dan infak dalam pembangunan institusi Islam serta memperkukuhkan sokongan kepada golongan yang memerlukan.

Dengan adanya inisiatif ini, diharapkan masyarakat Islam di Perlis lebih peka terhadap tanggungjawab sosial mereka, selain membantu memperkasakan institusi wakaf dan infak dalam usaha memperkukuhkan ekonomi ummah.

FOTO

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button