
Raja Muda Perlis ketuai Program Khas MAIPs Peduli sempena Hari Polis
KANGAR 29 Mac – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat mengetuai Program MAIPs Peduli Khas Sempena Hari Polis ke-218 yang jatuh pada selasa 25 Mac 2025 baru-baru ini anjuran PDRM Perlis bersama-sama Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Kg. Repoh, Kangar.
Baginda mendoakan semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa melindungi dan merahmati serta mempermudahkan segala urusan anggota PDRM dahulu, sekarang dan masa hadapan beserta ahli keluarga mereka tersayang yang menjalankan tugas masing-masing dengan sepenuh hati, bertanggungjawab dan berintegriti yang tinggi demi negeri Perlis dan negara Malaysia yang tercinta.
Dalam program tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyampaikan sumbangan kepada tiga penerima terpilih yang disantuni iaitu Sharudin Che Ramadan, 50 tahun, dari Kampung Repoh, Mohd Zalisman Jali, 41 tahun, dari Kampung Tanjung Gorah, dan Rosni Saad, 73 tahun, dari Jalan Pegawai.
Setiap mereka menerima wang tunai sebanyak RM700, Kits MAIPs Peduli serta beras fidyah bagi menampung keperluan sepanjang bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Pihak PDRM diwakili oleh Timbalan Ketua Polis Negeri, Senior Asisten Komisioner Baderulhisham Baharudin, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Perlis ACP Wari Kiew, Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah dan Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi turut menyampaikan sumbangan wang tunai dan bahan mentah makanan kepada para penerima tersebut.
Pada program yang sama, Tuanku Raja Muda turut berkenan singgah menyerahkan sumbangan berjumlah RM40,000 daripada MAIPs kepada Pertubuhan Amal dan Kebajikan Rumah Lavender Perlis, atau lebih dikenali sebagai Rumah Lavender.
Sumbangan itu diterima oleh Pengerusinya, Tuan Marja Tuan Mat. Rumah Lavender merupakan sebuah organisasi kebajikan yang berpusat di Perlis dan berperanan sebagai pusat transit serta penempatan bagi individu Orang Kurang Upaya (OKU) penglihatan serta ibu tunggal.
Organisasi ini menyediakan perlindungan, sokongan, dan bantuan bagi golongan yang memerlukan, selaras dengan matlamat kebajikan yang diperjuangkan oleh MAIPs.
FOTO