Agama

Raja Muda Perlis ingatkan umat Islam gunakan ilmu untuk selaraskan iman dan sains

Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Penekanan Islam terhadap ilmu, bermula dengan perintah ‘Iqraʾ yang bermaksud “Bacalah” mengingatkan umat manusia untuk mengintegrasikan kedua-dua ilmu yang wahyu dan yang diperoleh, menyelaraskan iman dan sains demi manfaat kemanusiaan’.

Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra ketika berkenan berangkat merasmikan pembukaan Persidangan Antarabangsa Kajian Al-Quran dan Sunnah Ke-3 di Galeri KAED, Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Jalan Sungai Pusu, Gombak.

Keberangkatan tiba Baginda diiringi sama oleh Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan disambut oleh Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar, Dekan Kulliyyah Ilmu Pengetahuan Berteraskan Wahyu dan Sains Kemanusiaan, AbdulHamid AbuSulayman, Prof. Dr Shukran Abd. Rahman dan Mufti Negeri Perlis, Sahibus Samahah Dato’ Arif Perkasa Prof. Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Turut berangkat sama adalah anakanda sulung Baginda berdua iaitu Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullaill.

Persidangan ini telah dianjurkan oleh UIAM dengan kerjasama Kerusi Jamalullail UIAM, Universiti Ibnu Khaldun Turkiye, Yayasan Darul Quran Indonesia dan Nasyrul Quran dan Yayasan Restu Putrajaya serta Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Sesi dialog ini berlangsung pada dua hari iaitu bermula pada 3 Disember 2024 di Galeri KAED, Kulliyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar di UIAM Kampus Gombak dan hari berikutnya 4 Disember 2024 pula akan berlangsung di Kompleks Nasrul Quran, Putrajaya.

Tuanku Syed Faizuddin bertitah, persidangan ini berdiri sebagai platform untuk pengetahuan dan dialog, menekankan bagaimana Al-Qur’an dan Sunnah mampu membimbing dalam bidang seperti Kecerdasan Buatan (AI), etika biologi, pemuliharaan alam sekitar, dan keadilan sosial.

“Dalam dunia yang sering berpecah, biarlah persidangan ini mengingatkan kita akan seruan Islam untuk perpaduan, kasih sayang, dan penghormatan terhadap ilmu. Kepada semua peserta, saya nasihatkan anda untuk menerima perhimpunan ini sebagai peluang untuk kerjasama, memastikan pengetahuan yang diperoleh di sini berfungsi sebagai amanah—kepercayaan—untuk kebaikan masyarakat dan generasi akan datang”.

Untuk rekod, MAIPs telah menubuhkan “Kursi Jamalullail” di UIAM yang dirasmikan pada 7 Februari 2019 melibatkan pemberian biasiswa kepada pelajar peringkat Doktor Falsafah (PhD) serta mempromosikan penyelidikan dan pengajian khusus dalam bidang Pengajian Islam, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, Pelancongan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button