Raja Muda Perlis ingatkan supaya tidak salah guna kebebasan bersuara
KANGAR 23 Sept. – Kebebasan hak bersuara bagi sebarang isu adalah hak mutlak masing-masing. Namun, hendaklah mematuhi undang-undang serta menjaga adab tatasusila dan tidak menggunakan isu sensitif malahan fitnah dalam menyuarakan pendapat. Ini adalah bagi menjaga keharmonian baik di peringkat nasional mahupun global.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan program Hijrah Minda MAIPs di Masjid Saidina Umar Al-Khattab, Guar Syed Alwi, Kangar.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Mufti Perlis, Sahibus Samahah Prof. Datuk Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Baginda selaku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berupa wang tunai RM700 setiap seorang kepada 20 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah Guar Syed Alwi dengan jumlah penuh pada kali ini sebanyak RM14,000.
Titah Tuanku Syed Faizuddin Putra lagi, secara umumnya ada terdapat sebahagian individu atau kumpulan yang berkemungkinan besar terlalu kecewa atau terkesan terhadap sesuatu perkara mengeluarkan kenyataan atau penulisan yang tidak beretika, seperti tuduhan liar, sangkaan buruk, mengada-adakan cerita tanpa fakta yang benar, bahkan ada yang sanggup menipu demi untuk menguatkan hujah. Tindakan seperti ini dilihat dilakukan dengan niat jahat untuk melaga-lagakan dan berhasrat menjatuhkan maruah pihak yang ditujukan.
Tuanku Raja Muda mengajak semua pihak yang membaca supaya harus adil dalam menerima sesuatu berita dan kenyataan dengan membuat semakan melalui saluran yang betul kepada pihak yang absah dan berotoriti bagi memastikan perkara yang dibangkitkan itu benar-benar sahih dan tepat.