Nasionalpilihan

Raja Muda Perlis ingatkan penting pengurusan masa

Pengurusan masa berkesan membolehkan seseorang pelajar bergiat aktif dalam kokurikulum. Pelajar perlu menyeimbangkan masa untuk akademik dan kokurikulum. Namun ada pelajar yang terus mengetepikan aktiviti kokurikulum kerana menganggap ia akan menjejaskan pencapaian akademik.

Pelajar yang bijak merancang masa mampu menyiapkan tugasan mengikut tempoh ditetapkan walaupun sibuk dengan aktiviti kokurikulum yang juga penting kerana ia membentuk sahsiah pelajar dengan mengasah kemahiran insaniah seperti komunikasi, kepemimpinan dan pergaulan yang menjadi nilai tambah apabila memasuki alam pekerjaan suatu hari kelak.

Pelajar juga dapat memupuk sifat menepati masa dan disiplin jika mereka menguruskan masa mereka dengan baik. Tekanan mampu dikurangkan jika pelajar menyiapkan tugasan sekolah serta mengulang kaji di awal waktu dan ia dapat dilakukan dengan tenang dan hasil kerja yang lebih berkualiti.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyerahkan pelitup separuh muka sumbangan CSR daripada Konsortium Bumita Nepta Sdn Bhd melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis kepada Sekolah Kebangsaan Simpang Empat sempena kempen MAIPs bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat, Cergas dan Bersih’ yang diterima oleh Guru Besarnya Tengku Tun Noorani Tengku Senawi pada petang semalam.

Keberangkatan baginda ke salah sebuah projek ‘Sekolah Amanah Jamalullail di bawah tajaan MAIPs’ itu disambut oleh Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri, Naharudeen Othman dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Menurut Mohd Nazim, program ‘Sekolah Amanah Jamalullail merupakan salah satu inisiatif MAIPs dalam bidang pendidikan dan ianya telah dilancarkan oleh Tuanku Syed Faizuddin Putra pada 3 Mac 2020 yang lalu.

Tambah beliau, sejak diasaskan pada tahun 1920, pendidikan adalah salah satu fokus utama MAIPs dalam meningkatkan sosio ekonomi ummah di negeri ini. Sebagai contoh, pada tahun 1930, Sekolah Al-Madrasah Al-Alawiyah Ad-Diniah, Arau ditubuhkan dengan menggunakan dana zakat. Almarhum Syed Alwi Jamalullail yang merupakan Raja Perlis pada ketika itu telah menitahkan agar dibina sebuah bangunan yang lengkap sekolah berkenaan dan berjaya direalisasikan pada tahun 1936.

Naharudeen pula menerangkan bahawa pelaksanaan program ‘Sekolah Amanah Jamalullail’ adalah hasil kerjasama erat antara MAIPs dan Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis di bawah kendalian Yayasan AMIR melalui LeapED Services yang bermatlamatkan untuk menambah baik hasil pembelajaran bagi setiap pelajar agar lebih mampan melalui matlamat strategik yang memberi fokus terhadap kepimpinan sekolah, guru-guru, pelajar dan ibu bapa serta masyarakat.

Tengku Tun Noorani pula bersyukur dan berbangga kerana Sekolah Kebangsaan Simpang Empat yang dipimpin oleh beliau dipilih sebagai salah sebuah sekolah yang bertuah terpilih menerima tajaan MAIPs untuk pelaksanaan projek tersebut. “Ini adalah satu anugerah untuk warga sekolah bagi terus mempertingkatkan lagi kemajuan sekolah ini”.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button