Raja Muda Perlis ingatkan masyarakat bersedia hadapi banjir
Melihat situasi cuaca tidak menentu yang mengundang risiko berlakunya bencana seperti banjir dan tanah runtuh, masyarakat perlu bersiap-sedia dengan tindakan berhadapan keadaan kecemasan.
Keadaan lembab di samping struktur tanah yang tidak kuat berisiko mengakibatkan kejadian tanah runtuh yang boleh mengundang kemalangan.
Jika berlaku tanah runtuh, segeralah menyelamatkan diri mengikut laluan kecemasan yang telah dikenalpasti. Sekiranya berada di dalam bangunan, lindungilah diri di bawah objek yang kukuh.
Jika tidak mempunyai ilmu, kemahiran dan pengalaman yang mencukupi, disarankan jangan cuba untuk menyelamatkan sesiapa yang terperangkap, tetapi segeralah memaklumkan hal itu kepada pasukan keselamatan dan penyelamat.
Demikian titah nasihat Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat mendaki Gunung Medan di Utan Aji sempena program ‘MAIPs Peduli Kali Ke 3 Bagi Tahun 2021’ ini yang bermula dan berakhir di perkarangan Masjid Al-Shahrani, Behor Lateh.
Mengiringi sama ialah Pegawai Kewangan Negeri, Nasaruddin Abdul Muttallib dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Walaupun bernama ‘Gunung’ ianya ialah sebuah bukit batu kapur setinggi kira-kira 100 meter terletak 6km di selatan bandar Kangar dan buat masa ini masih boleh dikunjungi dengan menaiki kereta. Ia merupakan lokasi digemari oleh para pejalan kaki, pelari serta penggemar sukan berbasikal menggunakan trek jalan yang disediakan.
Menyentuh mengenai Gunung Medan, Tuanku Raja Muda menitahkan bahawa lokasi riadah popular penduduk setempat di sekitar tahun 70-80’an ini berpotensi untuk dibangunkan semula sebagai satu lagi lokasi pelancongan menarik di negeri ini jika pihak berkuasa dapat memastikan segala aspek keselamatan disahkan memenuhi piawaian kerana para pengunjung akan dapat merasai ketenangan di samping melihat panorama indah melalui dahan-dahan pokok terbentang luas sawah padi di sekeliling dan bukit bukau menghijau ke utara menghala ke negara jiran Thailand serta laut dan pulau-pulau di barat dan selatannya.
Terdahulu, selain singgah menyerahkan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada tiga buah keluarga asnaf terpilih, baginda turut berkenan merasmikan ‘Projek Peningkatan Sosio-Ekonomi Asnaf MAIPs’ berupa perniagaan masakan goreng ‘Cik Onei’ yang diusahakan sejak 2018 oleh Nor Ani Yahya di No 665A Jalan Baru Gunung Medan, Utan Aji yang telah pernah menerima bantuan MAIPs untuk membeli dapur, almari, empat set meja serta tong air berjumlah RM2,700.