Raja Muda Perlis ingatkan mahasiswa supaya merancang perbelanjaan bulanan
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, ‘Mahasiswa perlu merancang perbelanjaan bulanan yang mengambil kira pendapatan, perbelanjaan asas, simpanan dan keperluan kecemasan. Amalan bijak dalam pengurusan perbelanjaan harian dapat membantu mengekalkan kestabilan kewangan’.
Menurut Baginda, ‘Bagi yang mempunyai pinjaman pendidikan, adalah penting untuk menyusun strategi pembayaran balik secara konsisten. Ini bukan sahaja akan meringankan beban kewangan jangka panjang tetapi juga membina rekod kredit yang baik untuk masa depan’.
“Selain menyimpan wang untuk kecemasan, siswazah juga digalakkan untuk melabur sebahagian daripada pendapatan masing-masing bagi tujuan jangka masa panjang. Ini memberikan peluang kepada mereka untuk mengumpul aset, mencapai kestabilan kewangan dan merancang kewangan dengan lebih baik pada masa hadapan”.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Tuanku Canselor Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) ketika menyempurnakan Sidang Ketujuh Istiadat Konvokesyen Ke-19 UniMAP yang berlangsung di Dewan Ilmu, Kampus Alam UniMAP Pauh Putra.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin yang mewakili Pengerusi Lembaga Pengarah UniMAP dan Naib Canselor, Prof. Datuk Ts. Dr. Zaliman Sauli serta pengurusan tertinggi universiti.
Seramai 424 siswazah telah terlibat pada sidang ketujuh ini daripada Fakulti Perniagaan & Komunikasi (FPK) dan Diploma dari Fakulti Kejuruteraan & Teknologi Elektrik (FKTE).