Raja Muda Perlis harap hubungan Perlis-Wilayah Andaman kekal erat, produktif
Hubungan yang terjalin antara Negeri Perlis dan Wilayah Andaman, Thailand, khususnya wilayah Satun diharap akan terus kekal erat dan produktif.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sempena program kayuhan tahunan TTG Perlis ke negara jiran tersebut di sekitar Satun baru-baru ini.
Keberangkatan tiba Baginda disambut oleh Datuk Pichate Pitisatetapan yang merupakan Bekas Timbalan Ketua Polis Region 9 Polis DiRaja Thailand dan juga merupakan Penasihat bagi salah sebuah Jawatankuasa Kecil dalam Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).
Program bermula di Pejabat Daerah Tanjong Poh dan melalui melalui Bagan Belacan untuk singggah di jeti, dan berbelanja di Projek Satu Kampung Satu Produk (OTOP) Kg Tengah. Kemudian Baginda ke Kg Tanjong Poh, Kg Pasir Panjang dan menghabiskan kayuhan untuk santapan tengahari secara santai di Pak Tam Seafood Restaurant Tanjong Poh.
Pada kesempatan yang sama Baginda mengalu-alukan masyarakat di Satun, Thailand untuk menziarahi bumi Perlis, sebuah negeri yang kaya dengan keindahan alam semula jadi, sejarah, dan budaya yang unik.
Setiap tetamu yang bertandang ke Perlis diharap akan membawa pulang kenangan manis sepanjang berada di negeri ini yang terkenal dengan keramahan penduduknya serta keindahan alamnya.
Tambah istimewa ialah pada waktu ini sedang berlangsung kempen Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024-2025 yang akan masuk tahun kedua ianya dilaksanakan yang akan disusuli dengan Tahun Melawat Malaysia 2026. – SM
FOTO