Nasional

Raja Muda Perlis bimbang perentas negeri bersikap sambil lewa

Dalam kita mengalu-alukan semua untuk pulang atau datang ke Perlis, namun harus diingatkan bahawa masyarakat tidak boleh terlalu teruja merentas negeri sehingga bersikap sambil lewa terhadap kelonggaran yang diberikan. Kegiatan rentas negeri yang tidak dikawal ini, boleh mengakibatkan penambahan kes yang berterusan di negeri Perlis.

Bagi yang pulang ke Perlis, seboleh-bolehnya cubalah untuk tinggal di hotel atau inap desa dan bukanlah di rumah sanak saudara atau rakan taulan mereka. Ini bagi memastikan pematuhan SOP dapat dilaksanakan dengan baik dan sebagai ikhtiar serta sebagai tanda kita sayangkan mereka terutamanya ibu bapa yang kebanyakannya merupakan warga emas yang amat berisiko dijangkiti Covid-19 dan menghadapi kesan yang lebih teruk. Begitu juga dengan keluarga yang mempunyai anak-anak yang usianya belum boleh divaksin dan perlu diberi perlindungan dengan penuh bertanggungjawab.

Berdasarkan rekod, pada awal tahun ini sejurus selepas cuti sekolah penghujung tahun 2020, membuktikan bahawa banyak kes positif Covid-19 di negeri Perlis ketika itu disebabkan oleh kehadiran sanak saudara dari luar negeri ini dan masing-masing ‘sukar’ melaksanakan SOP dengan baik semasa berada bersama-sama di rumah.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyampaikan ‘Anugerah Olahragawati Terbaik Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs)’ kepada Nor Fartima Mohd Noor sempena Hari Sukan Negara yang diadakan di perkarangan Dewan Kulliyah MAIPs, Behor Temak, Kangar.

Hari Sukan Negara Peringkat MAIPs dilangsungkan bermula pada 9 Oktober dan Nor Fartima telah mengungguli juara dalam acara pingpong dan catur.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs Hj Mohd Nazim Mohd Noor.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr. Sirajuddin Hashim dalam menyentuh perkara yang sama pula menasihatkan supaya hanya yang telah lengkap vaksinasi dan sihat sahaja boleh melakukan aktiviti rentas negeri. Pastikan juga anak-anak yang belum layak diberi vaksin kekal sihat.

Tambah Dr Sirajuddin lagi, lakukanlah ujian kit kendiri dan hanya mulakan perjalanan jika didapati negatif. Sekiranya positif, kekal kuarantin di kediaman masing-masing dan dapatkan rawatan jika gejala semakin teruk.

Kerajaan Malaysia telah bersetuju memberi kebenaran bagi rakyat yang telah menerima vaksinasi lengkap untuk melakukan pergerakan rentas negeri tanpa perlu memohon kebenaran daripada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) bermula hari ini, 11 Oktober 2021.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Borhan Abu Samah

Ketua Pengarang Suara Merdeka. Menjadi wartawan sejak 1993 dan pernah bertugas sebagai Pengarang Berita di Utusan Malaysia dan Utusan Malaysia 2.0. Koresponden Utusan Luar Negara di Jakarta. Pernah bertugas sebagai Ketua Biro Utusan Malaysia di Sarawak.

Related Articles

Back to top button