RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat merasmikan Majlis Anugerah Perkhidmatan Terpilih (APT) dan Anugerah Keterampilan Agensi Bersama Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) 2022 di Bukit Chabang Mari, Padang Besar pagi ini.
Berangkat sama, Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Di majlis tersebut Tuanku Syed Faizuddin Putra menzahirkan ucapan Selamat Menyambut Ramadan Mubarak kepada semua yang bakal disambut dua hari sahaja lagi.
“Sesungguhnya majlis berkenaan mempunyai makna yang cukup besar di mana pihak MAIPs saban tahun sentiasa menghargai para kakitangannya yang mempamerkan perkhidmatan terbaik,” titah Baginda.
Mengambil kesempatan dan keberkatan bulan Ramadan yang bakal disambut nanti juga, Baginda menekankan supaya masing-masing dapat memahami bahawa pekerjaan juga merupakan satu ibadah atau satu bentuk ketaatan kepada Allah.
Jelas Raja Muda, ibadat dalam Islam itu tidak hanya tertumpu kepada amalan-amalan seperti bersolat, berpuasa, berzikir, berzakat, dan menunaikan haji semata-mata.
Bahkan, ia juga termasuk siasah, mengurus, menjaga dan mentadbir negeri serta negara.
“Tidak kira siapapun kita, gerak geri dan kerja kita haruslah berteraskan kepada amalan soleh yang seimbang atau seiring di antara duniawi dan ukhrawi, rohani dan juga jasmani,” titah Baginda.
“Bekerja juga merupakan antara tuntutan dan kewajipan kepada umat Islam bagi meningkatkan lagi ekonomi diri, keluarga, Ummah, negeri dan negara melalui upah atau gaji yang diperoleh,” titah Baginda.
Dalam Islam juga telah digariskan beberapa perkara yang mesti ada dalam diri seseorang individu muslim ketika mana melaksanakan pekerjaan untuk mendapatkan rezeki yang halal, berkat serta diredai oleh Allah SWT.
Justeru Tuanku Syed Faizuddin Putra merangkap Yang DiPertua MAIPs menyeru semua Pekhidmat Majlis untuk sama-sama kembali membetulkan niat dan tujuan kita bekerja.
Bersesuaian sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap perbuatan itu bergantung kepada niat dan sesungguhnya setiap orang akan dibalas berdasarkan apa yang diniatkan”.
Teruskanlah prestasi cemerlang, usaha dan komitmen padu anda semua bagi mengekalkan momentum penghasilan kerja yang produktif dan progresif.
Sesungguhnya ”Berkerja itu ibadah, dan bekerjalah kerana Allah SWT”.
Majlis tersebut melibatkan para penerima terpilih daripada MAIPs sendiri, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri (JAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis, Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Perlis dan Pejabat DYMM Tuanku Raja Perlis.
Setiap agensi menerima empat Anugerah Perkhidmatan Keterampilan dan tiga atau empat Anugerah Perkhidmatan Terpilih yang disampaikan sendiri oleh Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda Perlis. – SM
BACA MAIPs komited laksana inisiatif bantuan kurangkan jurang kemiskinan – Raja Muda Perlis
BACA MAIPs peruntuk zakat Bantuan Persekolahan RM7,219,800 tahun ini – Raja Muda Perlis