RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan perasmian “Webinar Yayasan Tuanku Fauziah Siri 16” yang dilaksanakan secara ‘hybrid’ pada 22 Disember lalu.
Webinar bertemakan “Women In Search of Excellence” anjuran Yayasan Tuanku Fauziah (YTF) dengan kerjasama Jabatan Perangkaan Malaysia pada kali ini bertajuk “Wanita Dalam Pasaran Buruh: Dilema dan Peluang”.
Beberapa ahli panel telah dijemput untuk mengupas topik pada dua sesi forum dan juga sesi ucaptama yang disampaikan oleh Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd Uzir Mahidin.
Raja Muda Perlis selaku Penasihat DiRaja YTF dalam perasmian secara atas talian bertitah, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan di segenap peringkat bagi memperkasakan wanita dengan meneroka potensi masing-masing terutama dalam sektor ekonomi dan mengarusperdana gender dalam setiap perancangan dan dasar kerajaan.
Tuanku Syed Faizuddin amat berharap agar golongan wanita akan terus diberi peluang dalam aspek ekonomi, pendidikan, kesihatan dan juga politik supaya kesamarataan gender dalam pembangunan dan transformasi negara dapat terus dipertingkatkan.
Titah Baginda, pihak majikan sama ada di sektor awam atau swasta, perlu lebih sensitif akan keperluan wanita dalam melaksanakan pelbagai tugas di tempat kerja, dan meneruskan tugas sebagai seorang isteri dan ibu pula di rumah.
Sesi penutupan webinar telah disempurnakan oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga merupakan Pengerusi YTF.
Sebagai rekod, Webinar YTF ini diadakan pada setiap bulan secara atas talian dengan kerjasama pelbagai agensi dan organisasiyang turut serta menganjur dan menjayakan webinar ini dalam mempromosikan peranan wanita serta memperkasakan lagi bakat wanita, di mana panel-panel jemputan terdiri daripada golongan wanita sendiri. – SM