Raja Muda Perlis bangga kaum wanita jadi inspirasi keluarga
Kebelakangan ini terbukti lebih ramai golongan wanita cuba mengubah dan memperbaiki taraf kehidupan keluarga masing-masing dengan menjalankan perniagaan dan bergelar usahawan.
Ramai juga usahawan wanita yang disegani di negara ini kini didapati menjadi sumber inspirasi bagi golongan wanita yang lain. Mereka ini berjaya menjadi perangsang kepada wanita lain untuk menjana pendapatan, selain membentuk jati diri wanita yang mantap serta menjamin kehidupan wanita dengan adanya wang saku sendiri.
Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat merasmikan perniagaan makanan dan minuman ‘Selera Mak Lang Nasi Campur’ yang beroperasi di perkarangan Masjid Al-Barakah Kg Jelempok dekat Arau yang diusahakan oleh Basah Bt Mat Ali, 63 tahun sempena program ‘MAIPs Peduli’ baru-baru ini.
Basah sebelum ini pernah menerima sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui inisiatif Projek Peningkatan Sosioekonomi Asnaf MAIPs.
Menurut Tuanku Syed Faizuddin Putra, hari ini juga banyak peluang, ruang serta kesedaran diberikan di media sosial sehingga semakin menarik minat wanita menceburkan diri dalam perniagaan. Secara dalam talian bermula dengan menjadi agen produk, kemudian menyertai pelbagai program oleh kerajaan bagi menambah ilmu perniagaan. Wanita kini semakin ‘berani’ tampil memajukan lagi perniagaan tanpa mengabaikan tugas hakiki sebagai ibu dan isteri.
Tambah Tuanku Raja Muda lagi, melalui aktiviti perniagaan juga, ketika berdepan konflik Covid-19, para suri rumah, isteri dan ibu secara tidak langsung masih dapat meningkatkan pendapatan isi rumah masing-masing.
Untuk rekod, Islam sememangnya memandang tinggi darjat wanita sehingga terdapat satu surah khusus dalam Al-Quran yang menceritakan perihal golongan ini.
Saidatina Khadijah, seorang usahawan wanita yang berjaya menambat hati Rasulullah S.A.W. menjadi inspirasi dan bukti bahawa golongan hawa juga mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan kaum Adam, khususnya dalam bidang perniagaan.