RAJA Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan mengetuai Program Ziarah Mahabbah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) Bersama Jawatankuasa Teknikal Undang-Undang Syarak Sivil MAIPs ke Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand dari 26 hingga 28 April.
Baginda diiiringi oleh Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Mohd Nazim Mohd Noor dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Mohd Radhi Abas.
Program Ziarah Mahabbah Raja Muda Perlis selaku Yang Dipertua MAIPs ke Wilayah Phang Nga dan Phuket bagi melestarikan falsafah Ummatan Wahidah melalui perkongsian pintar di dalam pelbagai bidang iaitu kemajuan agama Islam, ekonomi, sosial, pendidikan dan kebudayaan demi manfaat umat Islam.
Ia sejajar dengan falsafah Pertumbuhan Segi Tiga Indonesia-Malaysia-Thailand (IMT-GT).
Program Ziarah Mahabbah ini telah memberikan impak positif apabila diadakan pada kali pertama di Wilayah Krabi (2015), Wilayah Phuket (2016), Wilayah Phang Nga dan Nakhorn Sittamarat (2017), Wilayah Trang (2018), Wilayah Ranong (2019), Wilayah Krabi (2020), Wilayah Phuket (2022) dan Wilayah Trang (2023).
Kali ini program Edisi Ke-9 melibatkan kolaborasi strategik bersama Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Kuala Lumpur, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dengan kerjasama Majlis Agama Islam (MAI) Wilayah Phang Nga dan Phuket, Thailand.
Ketibaan Baginda berdua bersama rombongan di pintu masuk Wang Kelian telah disambut oleh Ketua Majlis Satun, Ustaz Yam Lingala.
Baginda dan rombongan singgah di lokasi pertama di Masjid Al-Adnan, Trang bagi program Hijrah Minda.
Keberangkatan Baginda disambut oleh Gabenor Wilayah Trang, Songkort Sawangwong dan Pengerusi Jawatankuasa Islam Wilayah Trang, Amad Kordem, jawatankuasa masjid dan penduduk setempat.
Sempena majlis berkenaan, Rektor Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs), Prof Dr Muhammad Rozaimi Ramle telah menyampaikan ceramah bertajuk “Ukhuwwah Islamiyyah” yang diterjemah oleh Ustaz Nu’man dari Majis Agama Islam (MAI) Trang.
Juga diadakan penyampaian sumbangan cek replika berjumlah RM3,000 oleh MAIPs bagi aktiviti dakwah dan kemasyarakatan masjid berkenaan.
Baginda dan rombongan juga menunaikan solat Jumaat di masjid berkenaan. – SM
baca Pulau “dikuasai” Melayu di Coconut Island, Phuket, teruja dikunjungi Raja Muda