Raja Muda ingatkan rakyat Perlis tidak mengambil mudah penularan Covid-19
Walaupun 12 Oktober iaitu 20 hari yang lalu merupakan kes terakhir discaj pesakit Covid-19 dari Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar, namun rakyat Perlis diingatkan supaya jangan sekali-kali cuai atau mengambil ringan mengenai wabak merbahaya dan membunuh ini.
Sebaliknya semua hendaklah terus menerus melipatgandakan usaha masing-masing untuk berjaga-jaga dan sentiasa patuh kepada segala arahan dan juga nasihat yang digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia supaya negeri ini dapat terus kekal berada dalam zon hijau.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menghadiri program ‘Hijrah Minda Bilangan Ke 22 Bagi Tahun 2020’ anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertemakan ‘Rakyat Perlis Hidup Sihat, Cergas dan Bersih’ yang diadakan di Masjid As Solihin, Chuping pada jumaat.
Keberangkatan baginda diiringi anakanda, Syed Sirajuddin Areeb Putra Jamalullail disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.
Terdahulu, Ketua Penolong Pengarah Pejabat Kesihatan Daerah Kangar, Dr Radzman Ramli berkongsi nasihat mengenai betapa mustahaknya masyarakat mempraktikkan amalan membasuh tangan dengan sabun dan memakai pelitup muka dalam kehidupan seharian bagi menghadapi wabak berkenaan.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri, Dr Sirajuddin Hashim, apabila mengulas mengenai program penutupan ‘Bulan Kesedaran Barah Payu Dara Peringkat Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri’ sepanjang bulan Oktober lalu di beberapa lokasi di seluruh negeri ini yang disempurnakan oleh Tuanku Raja Muda pada program yang sama menerangkan bahawa antara faktor risiko yang menyumbang kepada kanser payudara adalah umur yang melebihi 50 tahun, mempunyai sejarah menghidap kanser payudara atau sejarah keluarga menghidap kanser.
Walaubagaimanapun, risiko menjadi rendah jika seseorang mengamalkan gaya hidup sihat seperti bersenam dan tidak merokok. Wanita yang menyusukan anak juga dapat mengurangkan risiko menghidap kanser payudara.
Tambah Sirajuddin lagi, bagi mencegah kanser payudara, perkara yang perlu diamalkan adalah seperti melakukan Pemeriksaan Sendiri Payudara (PSP) di rumah. Keseluruhan payudara perlu diperiksa secara berkala supaya ketulan dapat dikesan awal. Mendapat pemeriksaan awal di mana-mana klinik kesihatan untuk mempelajari cara pemeriksaan sendiri payudara yang betul dan berjumpa dengan doktor segera sekiranya ada ketulan dikesan. Selain daripada itu, lakukanlah ujian x-ray payudara (mammogram) bagi wanita yang mempunyai risiko.
Untuk rekod, bulan Oktober setiap tahun merupakan ‘Bulan Kesedaran Kanser Payudara’. Reben berwarna merah jambu dengan kempen “Pink October” merupakan simbolik dalam meningkatkan kesedaran rakyat tentang bahaya kanser payudara dan keperluan untuk mendapatkan rawatan awal.
Di program tersebut juga Tuanku Raja Muda berkenan mengurniakan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada 10 orang asnaf terpilih daripada kalangan anak kariah masjid berkenaan.