Raja Muda dan Raja Puan Muda Perlis titah ucapan Selamat Hari Malaysia, Hari Angkatan Tentera
Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil menitahkan ucapan Selamat Menyambut Hari Malaysia kepada seluruh rakyat dan mengingatkan bahawa nikmat keselamatan, perpaduan dan kestabilan serta pelbagai kejayaan dikecapi negara berpaksikan prinsip-prinsip Rukunegara sehingga hari ini tiada tolok bandingnya dan hendaklah sentiasa dipertahankan, dibanggakan serta diambil berat oleh semua.
Baginda berdua turut menitahucapkan penghormatan di atas segala pengorbanan yang dicurahkan dan Selamat Menyambut Hari Angkatan Tentera Malaysia Yang Ke 87 serta Hari Ulangtahun Ke 57 Rejimen Renjer DiRaja yang kedua-duanya turut disambut pada tarikh yang sama iaitu 16 haribulan September setiap tahun.
Demikian titah Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat menerima ‘Taklimat Kali Kedua Berkaitan Pelaksanaan Sidang Komander Askar Wataniah Siri ke 32/2020’ yang diadakan di Bilik Mesyuarat Galeri DiRaja Arau.
Taklimat mengenai persiapan menganjurkan SKAW yang merupakan satu persidangan tahunan yang dipengerusikan oleh Timbalan Panglima Tentera Darat dan bakal dihadiri oleh semua Komander Siri 500 dari seluruh negara tersebut dipersembahkan oleh Timbalan Komander Rejimen 504 Askar Wataniah, Leftenan Kolonel Mohamad Zaidi Ishak.
SKAW Siri 32/2020 akan datang bakal diadakan di negeri Perlis dari 6 hingga 8 November 2020 dianjurkan oleh Rejimen 504 Askar Wataniah dan dikoordinasikan oleh Markas Tentera Darat Bahagian Pasukan Simpanan bersama-sama dengan Kerajaan Negeri.
Pada kesempatan yang sama, Tuanku Raja Muda turut memaklumkan bahawa Rejimen 504 Askar Wataniah berpengkalan di Kem Bukit Keteri, Beseri Perlis yang mana baginda merupakan Tuanku Komandernya sendiri juga baru sahaja menyambut Hari Ulangtahun ke 40 pada 7 September lepas. Namun, acara sambutannya akan dilaksanakan ketika SKAW diadakan di Perlis bagi menyambut sama keberangkatan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail yang pernah menjadi Komander rejimen berkenaan sejak awal kewujudannya lagi sebelum menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada Tuanku Raja Muda pada tahun 2002 beserta para Komander dari negeri-negeri lain yang turut serta menghadiri persidangan itu kelak.
Sementara itu Zaidi pula terus mengajak muda-mudi di negeri Perlis yang sihat tubuh badan dan memenuhi segala kriteria minima ditetapkan supaya tampil ke hadapan beramai-ramai mendaftarkan diri sebagai anggota sukarela dan sukarelawati Askar Wataniah bagi berganding bahu dengan ATM dalam sama-sama mempertahankan kedaulatan negara Malaysia tercinta.