Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan berangkat menerima undangan menghadiri sesi pertemuan dengan Perwakilan Asing dari Negara-Negara Timur Tengah di Malaysia yang dihoskan oleh SME Corp Malaysia di ibu negara baru-baru ini.
Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengerusinya Datuk Sri Syed Hussein Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif, Rizal Nainy.
Antara Duta-Duta Besar yang hadir ialah Datuk Dr Mahmoud Hussein Qattan (Arab Saudi), Thamer Adwan (Jordan), Gamal Ragai Nasr (Mesir) dan Saad Maandi (Algeria).
Hadir sama adalah Pesuruhjaya Tinggi Pakistan ke Malaysia Amna Baloch, serta pegawai-pegawai kanan dari Kedutaan-kedutaan Bahrain, Rashad Farooq AlShaikh dan Kuwait, Mudhhi Tuwari Alfadhli.
Turut serta, Pengerusi Malaysia Airlines yang juga bekas Presiden serta Ketua Pegawai Eksekutif Petronas Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin dan Pengasas RHB Group, Tan Sri Abdul Rashid Hussain.
Dalam ucapan alu-aluan beliau, Syed Hussein mengalu-alukan keberangkatan Tuanku Raja Muda Perlis dan memaklumkan bahawa pihak SME Corp Malaysia sedang mempertimbangkan beberapa bentuk kerjasama dengan negeri Perlis melalui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) dan Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis.
Prof Emeritus Datuk Dr Ir Kamarudin Hussin merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah KUIPs serta Pengerusi Faizuddin Centre Of Educational Excellence (FCOE) dan Hj Mohd Nazim Mohd Noor selaku Ketua Pegawai Eksekutif MAiPs berkongsi maklumat memperkenalkan kepada yang hadir mengenai organisasi masing-masing.
Duta-duta Besar dari negara Timur Tengah berkenaan juga kini sedang membuat perancangan untuk datang ke negeri Perlis bagi sesi lawatan rasmi sembah mengadap hormat ke atas Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada awal tahun hadapan. – SM