
Rais Yatim gesa Persatuan Promosi Satu Cina disiasat sebar ideologi komunisme, sosialisme
KUALA LUMPUR 8 April – Persatuan Promosi Satu Cina di Malaysia perlu disiasat secara serius oleh pihak berkuasa kerana pertubuhan itu menjadi saluran menyebarkan ideologi komunisme dan sosialisme dari tanah besar China.
Bekas Presiden Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, pertubuhan itu diketuai oleh seorang tokoh bergelar Tan Sri yang telah mempengaruhi corak pemikiran serta budaya masyarakat tertentu secara aktif dan terancang.
“Orang yang mengepalai Persatuan Promosi Satu Cina ini tidak boleh lepas hendaknya daripada penelitian dan kajian,” katanya dalam sidang media di Wisma Budi, Jalan Tuanku Abdul Rahman, di sini semalam.
Beliau berkata, perkara utama yang perlu diteliti ialah sama ada persatuan itu telah didaftarkan secara sah atau sebaliknya, dan jika tidak didaftarkan, mengapa ia masih bebas menjalankan kegiatan.
“Soalannya ialah, apakah ‘Satu Cina’ atau menyatukan Cina itu tidak dipersoalkan? Dan jika tidak didaftarkan, kenapa dibiarkan ia menjalankan kegiatan terus-menerus?
“Saya difahamkan bahawa persatuan ini sangat aktif dalam membenihkan komunisme dan sosialisme,” tegasnya yang berlatarbelakang undang-undang dan berpengalaman dalam pentadbiran kerajaan.
Rais turut menyatakan bahawa wujud keperluan untuk menyemak sama ada kegiatan pertubuhan ini selari atau bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta dasar negara.
Oleh demikian, beliau menyeru agar laporan-laporan polis yang telah dibuat termasuk olehnya sendiri tidak dipandang remeh dan disusuli dengan tindakan segera oleh pihak berkuasa.
“Peguam Negara perlu tentukan warta mana yang masih berkuat kuasa menyatakan komunisme ini sebagai diharamkan. Adakah ia masih relevan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960, atau di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA), atau mana-mana undang-undang lain?” soalnya.
“Sebagai warga lama dan pernah terlibat dalam soal keselamatan dalam negeri, saya tidak boleh berdiam diri. Saya telah buat kerja rumah saya untuk tanah air ini,” katanya.